Am 02/09/2026 04:36 PM

SPRM Sedia Siasat Jika Ada Bukti Salah Guna Peruntukan ADUN PH

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
SPRM Sedia Siasat Jika Ada Bukti Salah Guna Peruntukan ADUN PH
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Abd Halim Aman bercakap pada Sidang Media Khas SPRM di Ibu Pejabat SPRM hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

PUTRAJAYA, 2 Sept (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersedia untuk menjalankan siasatan, sekiranya terdapat bukti berlakunya penyalahgunaan peruntukan RM180,000 kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH), yang diluluskan sehari sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan pada 5 Jun lepas.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman berkata laporan berserta bukti yang menunjukkan berlaku penyalahgunaan peruntukan atau kesalahan di bawah undang-undang, boleh menjadi asas untuk SPRM menjalankan siasatan.

Bagaimanapun, beliau berkata setakat ini SPRM tidak melihat sebarang isu berhubung kelulusan peruntukan itu, memandangkan kerajaan yang sah mempunyai hak untuk memperkenalkan dasar atau meluluskan peruntukan selagi tidak bercanggah dengan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

“Kalau kerajaan itu kerajaan yang sah, tiada masalah untuk kerajaan membuat sesuatu dasar atau peruntukan, asalkan tidak bercanggah dengan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.

Abd Halim berkata keadaan berbeza bagi kerajaan sementara yang tidak sepatutnya memperkenalkan dasar baharu, sehingga boleh mengikat kerajaan yang mengambil alih selepas pilihan raya.

Pada 26 Ogos, 17 ADUN PH dan dua penyelaras DUN daripada kerajaan Negeri Sembilan sebelum ini, diarahkan memulangkan peruntukan bagi Ogos dan September susulan pembubaran DUN pada 5 Jun.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim berkata peruntukan itu diluluskan pada 3 Jun dan disalurkan ke akaun penerima pada 4 Jun, sehari sebelum DUN dibubarkan.

Beliau berkata keputusan memulangkan peruntukan berkenaan dibuat bagi memastikan penggunaan dana kerajaan negeri, mematuhi status penerima selepas pembubaran DUN serta menjaga ketelusan dan integriti kewangan.

Pejabat Menteri Besar akan mengeluarkan surat tuntutan bayaran balik dan penerima diberi tempoh 30 hari untuk memulangkan dana berkenaan.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Abd Halim berkata pihaknya masih belum menerima surat berkaitan kes rasuah melibatkan bekas Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan.

“Berkenaan surat itu pihak kami belum menerima (surat) daripada pihak dinyatakan, kami masih menunggu,” katanya.

Mengulas mengenai dakwaan bahawa saksi utama dalam kes itu telah meninggal dunia, Abd Halim berkata perkara berkenaan menjurus kepada proses penyiasatan yang bersifat sulit.

“Berkenaan bagaimana proses dan saksi utama telah meninggal dunia itu, ia lebih menjurus kepada proses penyiasatan dan sulit, serta tidak ada pihak mengetahui melainkan pihak pegawai penyiasat dan atasan SPRM.

“Jadi sama ada kes itu kukuh dan mengapa diteruskan, itu soal perundangan,” katanya.

Pada 28 Ogos lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua pihak memberi ruang kepada proses undang-undang dalam kes Saravanan dan perkara berkenaan kini berada di bawah bidang kuasa SPRM dan Jabatan Peguam Negara.

Saravanan sebelum ini memaklumkan bahawa surat yang dihantarnya kepada Perdana Menteri bukan bertujuan meminta campur tangan atau menutup kes, sebaliknya untuk menjelaskan pendiriannya berhubung perkara itu.

Terdahulu, Ahli Parlimen Tapah itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM1.097 juta, berkaitan kelulusan kuota pekerja asing.

-- BERNAMA