KAHERAH, 2 Sept (Bernama-CMG) -- Program "Kisah Tinta Klasik Pilihan Xi Jinping" versi bahasa Arab terbitan Kumpulan Media China (CMG) dilancarkan dalam satu majlis di sini pada Selasa.
Program itu mula disiarkan menerusi saluran arus perdana di Mesir bersempena lawatan rasmi Presiden China Xi Jinping ke negara berkenaan.
Presiden Mesir Abdel-Fattah al-Sisi dalam surat tahniahnya berharap lawatan Xi kali ini dapat membuka fasa baharu dalam hubungan antara kedua-dua negara.
Beliau turut berharap China dan Mesir dapat terus memperkukuh persahabatan serta kerjasama bagi membawa lebih banyak kemakmuran dan kemajuan kepada rakyat kedua-dua negara, selain menyumbang kepada pembangunan dan keamanan dunia.
Presiden CMG Shen Haixiong dalam ucapannya berkata penerbitan program "Kisah Tinta Klasik Pilihan Xi Jinping" oleh CMG memberi ruang kepada penonton untuk memahami pemikiran Xi dan budaya China dengan lebih mendalam, selain mengenali kebijaksanaan serta nilai yang diketengahkan negara itu.
Program berkenaan menghimpunkan petikan karya klasik dan kata-kata hikmat yang digunakan Xi dalam ucapan, artikel dan kenyataannya, dengan memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi, inovasi sains dan teknologi, perlindungan alam sekitar, kesejahteraan rakyat serta pelbagai bidang lain.
Program berkenaan turut mengetengahkan pemikiran Xi dalam mentadbir negara serta pengalaman China dalam merungkai pelbagai isu global.
-- BERNAMA-CMG