GEORGE TOWN, 2 Sept (Bernama) -- Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengeluarkan notis kepada pemilik sebuah bangunan di Lebuh China, di sini, bagi membolehkan pemeriksaan dan kerja pembaikan dilaksanakan segera susulan kejadian seorang wanita cedera terkena serpihan struktur konkrit bangunan warisan itu semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang H’ng Mooi Lye berkata pemilik bangunan berkenaan memberi komitmen untuk mengambil tindakan segera agar bangunan itu berada dalam keadaan selamat.
“Kejadian berlaku pada 11.30 malam, dengan mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Pulau Pinang, manakala MBPP akan terus memantau keadaannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, H’ng berkata susulan kejadian di Lebuh Armenian pada 4 Ogos lepas, kerajaan negeri bersama MBPP mengambil langkah proaktif dengan mempergiat pemeriksaan visual terhadap bangunan di kawasan Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town bagi memastikan keselamatan orang awam terus diberi keutamaan.
Beliau berkata sehingga kini, sebanyak 26 notis telah dikeluarkan kepada pemunya tanah atau bangunan supaya tindakan sewajarnya diambil bagi memeriksa, membaiki dan membetulkan sebarang kerosakan atau kecacatan yang dikenal pasti.
Di samping itu, katanya, MBPP turut mengadakan perbincangan dengan Institut Jurutera Malaysia (IEM) Pulau Pinang berhubung cadangan pemeriksaan visual terhadap 3,853 bangunan warisan di kawasan berkenaan.
Beliau berkata jumlah itu merangkumi 82 Bangunan Warisan Kategori I dan 3,771 Bangunan Warisan Kategori II, manakala MBPP kini mengambil inisiatif melantik jurutera bertauliah bagi menjalankan pemeriksaan berkenaan.
H’ng berkata MBPP turut akan melibatkan syarikat kawalan anai-anai untuk menjalankan pemeriksaan visual berkaitan kehadiran dan serangan anai-anai di semua bangunan warisan berkenaan, dengan pelantikan syarikat itu disasarkan minggu ini.
Beliau berkata keselamatan orang awam merupakan keutamaan, di samping memastikan bangunan warisan di Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town terus dipelihara, disenggara dan diuruskan dengan sewajarnya.
Difahamkan, kejadian malam tadi berlaku ketika masyarakat Cina sedang meraikan Festival Hantu Lapar, apabila kabel penyambung yang dipasang pada dinding tercabut, menyebabkan struktur di penjuru bangunan berkenaan tertanggal dan serpihannya terkena mangsa berusia 20-an.
Sebelum itu, pada 4 Ogos lepas, pasangan warga Sri Lanka cedera selepas ditimpa runtuhan batu dan kayu dari sebuah bangunan di Lebuh Armenian.
-- BERNAMA