KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Beroperasi selama dua hingga empat minggu di bawah permukaan laut, kru kapal selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bukan sahaja perlu memiliki ketahanan fizikal dan mental, malah berdepan keterbatasan untuk berhubung dengan keluarga.
Pegawai Memerintah Kapal Diraja (KD) Tun Razak Komander Mu'adz Isa berkata cabaran utama bukan sekadar tempoh berada lama di dalam kapal selam, sebaliknya memastikan setiap anggota kekal profesional, kompeten dan fokus terhadap tugasan walaupun berada dalam ruang terhad serta jauh daripada keluarga.
Beliau yang mempunyai pengalaman 16 tahun dalam Angkatan Kapal Selam TLDM berkata kehidupan di bawah laut berbeza daripada di daratan kerana kru tidak mempunyai konsep siang dan malam selain privasi yang terhad dan setiap anggota perlu saling bergantung antara satu sama lain.
Beliau berkata kekuatan mental amat penting kerana kru perlu membuat keputusan tepat walaupun berada dalam keadaan penat dan tertekan, selain setiap anggota perlu mempunyai disiplin serta kepercayaan terhadap pasukan.
“Keberanian bukan bermaksud kita tidak takut. Keberanian ialah apabila kita mampu mengawal diri dan terus melaksanakan tanggungjawab walaupun berada dalam keadaan yang mencabar,” katanya dalam program Apa Khabar Malaysia menerusi slot Wira Kita terbitan Bernama TV di sini, hari ini.
Mu'adz berkata antara keadaan yang menguji ketenangan kru ialah apabila berlaku kerosakan peralatan ketika kapal selam berada di dasar laut, khususnya risiko kapal dimasuki air yang memerlukan setiap anggota mematuhi prosedur dan latihan ditetapkan.
Beliau berkata kru juga tidak boleh menghubungi keluarga ketika menjalankan operasi kerana kerahsiaan merupakan perkara yang tidak boleh dipisahkan daripada tugas ketenteraan dan sebarang insiden membabitkan keluarga boleh disalurkan melalui Markas Angkatan Kapal Selam.
“Sebenarnya, setiap kali seorang submariner keluar ke laut, ada satu keluarga di darat yang turut berkorban,” katanya.
Mengulas mengenai aset kapal selam TLDM, beliau berkata Malaysia kini mengoperasikan dua kapal selam kelas Perdana Menteri iaitu KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Razak yang masing-masing tiba di negara ini pada 3 Sept 2009 dan 2 Julai 2010.
Beliau berkata kedua-dua kapal selam berkenaan adalah jenis Scorpene berkuasa diesel-elektrik dan diperoleh menerusi kontrak yang ditandatangani pada 2002, dengan bahagian hadapan dibina oleh Perancis manakala bahagian belakang dibina oleh Sepanyol.
Mu'adz berkata kapal selam pertama disambungkan di Perancis manakala kapal selam kedua disambungkan di Sepanyol sebelum kedua-duanya digunakan bagi melaksanakan tugas mempertahankan keselamatan serta kedaulatan maritim negara.
Beliau berkata keupayaan kapal selam beroperasi secara senyap dan sukar dikesan membolehkan aset berkenaan melaksanakan pemantauan, pengumpulan maklumat, pengesanan serta pelbagai tugasan operasi dalam tempoh yang panjang.
“Keupayaan itu turut memberikan elemen pencegahan strategik kepada negara, khususnya sebagai sebuah negara maritim yang mempunyai kawasan maritim hampir dua kali ganda saiz daratan dan berada di persimpangan laluan maritim penting seperti Laut China Selatan dan Selat Melaka,” katanya.
-- BERNAMA