Am 02/09/2026 02:15 PM

CGC Perluas Sokongan Kepada Usahawan Muda Lebih Daripada Sekadar Pembiayaan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
CGC Perluas Sokongan Kepada Usahawan Muda Lebih Daripada Sekadar Pembiayaan
Kredit: CGC

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) memperluas sokongannya kepada usahawan muda, lebih daripada sekadar akses kepada pembiayaan melalui Program Keusahawanan Belia CGC (YEP).

CGC dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa program berstruktur itu, bertujuan melengkapkan belia Malaysia dengan pengetahuan, kemahiran dan peluang yang diperlukan untuk membina perniagaan yang berdaya tahan, serta menyumbang kepada ekosistem perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang lebih dinamik dan mampan.

Program tersebut dilancarkan secara rasmi oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dr Kelvin Yii Lee Wuen di Bank Negara Malaysia di sini, semalam.

Majlis pelancaran itu juga menyaksikan 50 usahawan muda menamatkan pengajian dari Kohort 1 YEP CGC, yang terdiri daripada peserta Peringkat Awal dan Peringkat Pertumbuhan.

Sepanjang program selama tiga bulan itu, peserta Peringkat Awal, didedahkan dengan pengetahuan praktikal dan pandangan perniagaan yang penting merangkumi asas perniagaan, pengurusan kewangan, pemasaran, akses pasaran, dan kesediaan pembiayaan.

Peserta Peringkat Pertumbuhan pula telah melengkapkan Program BANGKIT dengan kerjasama Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), yang bertujuan untuk terus memperkukuh keupayaan mereka dalam membesarkan dan mengembangkan perniagaan.

“Pelancaran YEP CGC mencerminkan komitmen berterusan CGC, dalam memajukan ekosistem keusahawanan Malaysia. Melalui pembangunan keupayaan keusahawanan dan peningkatan akses kepada pengetahuan, rangkaian serta peluang, program ini berusaha untuk memupuk generasi usahawan yang berdaya tahan dan inovatif, yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi yang inklusif serta menyumbang kepada kemakmuran masa depan negara,” menurut kenyataan itu.

Yii dalam ucapan perasmiannya menegaskan kepentingan memperkasakan usahawan muda sebagai pemacu utama inovasi, penciptaan pekerjaan dan daya tahan ekonomi.

Beliau turut memuji CGC dan rakan kongsinya kerana menyediakan sokongan, rangkaian dan peluang yang diperlukan kepada usahawan muda, untuk mengemudi persekitaran perniagaan yang semakin dinamik.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC Mohamed Nazri Omar mengulangi komitmen perbadanan itu untuk menyokong para usahawan, sepanjang kitaran hayat perniagaan mereka.

Beliau berkata pertumbuhan perniagaan yang mampan melangkaui sekadar akses kepada pembiayaan, di samping menekankan kepentingan pembangunan keupayaan yang berterusan, sokongan khidmat nasihat, dan perkongsian strategik dalam membina perusahaan yang berdaya tahan dan berjaya.

Menurut CGC, ciri utama YEP CGC ialah pendekatan dipacu ekosistemnya, yang menghimpunkan agensi-agensi kerajaan, akademia, pemain industri, institusi kewangan dan rakan strategik untuk memberikan sokongan holistik kepada usahawan muda.

Antara rakan kongsi program tersebut ialah INSKEN, Universiti Malaya, Sunway University, institusi TVET, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) serta institusi-institusi kewangan yang mengambil bahagian.

Penglibatan mereka menyokong pelbagai aspek dalam perjalanan keusahawanan peserta, termasuk pembinaan kapasiti, pementoran, perkongsian pengetahuan, pendidikan kewangan dan pendedahan pasaran.

Majlis pelancaran itu turut diserikan dengan pameran PMKS, yang mempamerkan perniagaan oleh peserta daripada Kohort 1 YEP CGC, INSKEN, dan Pembiayaan CGC serta pameran MyKNP.

Pameran tersebut memberi peluang kepada para tetamu dan pihak berkepentingan untuk berinteraksi secara langsung dengan usahawan, meneroka produk dan perkhidmatan mereka, serta mendapatkan pencerahan mengenai usaha-usaha CGC yang lebih meluas dalam memupuk pembangunan keusahawanan.

-- BERNAMA