SERDANG, 2 Sept (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan berangkat melawat Pameran Pertanian Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026, di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini.
Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim serta Raja Kecil Besar Raja Azlan Muzzaffar Shah.
Keberangkatan tiba Sultan Nazrin pada 10.45 pagi disambut Menteri besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Yang Dipertua Dewan Negeri Perak Datuk Seri Mohammad Zahir Abdul Khalid serta Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Isham Ishak.
Sultan Nazrin, Tuanku Zara dan Raja Azlan berkenan melawat beberapa reruai di Pavilion Perak yang mempamerkan pelbagai produk dari negeri itu dan beramah mesra dengan beberapa pempamer serta usahawan, selain melawat Laman Padi dan Laman Herba.
MAHA edisi ke-101 itu berlangsung 10 hari bermula 28 Ogos hingga 6 Sept.
Acara dwitahunan itu merupakan platform utama sektor pertanian negara yang menghimpunkan pemain industri, agensi kerajaan, usahawan serta institusi penyelidikan dan pendidikan tinggi bagi mengetengahkan inovasi, teknologi dan peluang perniagaan dalam sektor agromakanan.
-- BERNAMA