Am 02/09/2026 01:06 PM

Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu Arah George Town Ditutup Sementara 7-9 Sept

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu Arah George Town Ditutup Sementara 7-9 Sept
Kredit: IJM Land

GEORGE TOWN, 2 Sept (Bernama) -- Laluan di sepanjang Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu menghala ke George Town, di sini akan ditutup sementara bermula 10 malam hingga 5 pagi pada 7 hingga 9 Sept.

IJM Land Berhad dalam kenyataan hari ini memaklumkan penutupan sementara dan lencongan trafik di laluan itu bagi melaksanakan pembinaan pusingan U bertingkat yang kini giat dijalankan.

“Laluan terjejas meliputi kawasan dari persimpangan Jalan Tunku Kudin hingga Jalan Ahmad Nor dan kerja-kerja berkenaan sebahagian daripada pembinaan pusingan U bertingkat, yang akan melengkapkan Jalan Pintasan Air Itam serta membantu melancarkan aliran trafik di sepanjang Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu.

“Pemandu kenderaan dinasihatkan supaya merancang perjalanan dengan sewajarnya, mematuhi papan tanda jalan serta berhati-hati ketika melalui kawasan terlibat bagi memastikan perjalanan lancar dan selamat,” menurut kenyataan itu.

IJM Land memaklumkan perkembangan lanjut mengenai penutupan jalan dan lencongan trafik akan dimaklumkan dari semasa ke semasa selaras dengan kemajuan projek berkenaan.

Syarikat itu turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai atas kesabaran sepanjang pelaksanaan kerja-kerja berkenaan.

-- BERNAMA