Am 03/09/2026 04:19 PM

Jualan Baja NAFAS Cecah RM160,000 Sepanjang Enam Hari MAHA 2026

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Jualan Baja NAFAS Cecah RM160,000 Sepanjang Enam Hari MAHA 2026
Ketua Pegawai Eksekutif NAFAS Bajakimia Sdn Bhd (NBKSB), Zalifuddin Md Arshad ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Produk Baja Premium Care sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026, hari ini. Premium Care merupakan rangkaian baja premium yang diformulasikan menggunakan bahan mentah berkualiti seta diperkasakan dengan teknologi Nutrient Protection Enhancer (NE) bag membantu meningkatkan keekapan penggunaan nutrien, mengurangkan kehilangan nutrien ke persekitaran serta memastikan nutrien tersedia lebih lama untuk diserap oleh tanaman. Rangkaian in terdiri daripada formulasi utama Premium Care 5 dan Premium Care 34+, dengan setiap formulasi dibangunkan bag menyokong keperluan tanaman mengikut fasa pertumbuhan, pembungaan, pembesaran buah, pengisian buah dan peningkatan produktiviti. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

SERDANG, 3 Sept (Bernama) -- NAFAS Bajakimia Sdn Bhd (NBKSB) merekodkan nilai jualan melebihi RM160,000 dalam tempoh enam hari Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026, sekali gus menunjukkan sambutan positif terhadap produk input pertanian keluaran syarikat itu.

Ketua Pegawai Eksekutif NBKSB Zalifudin Md Arshad berkata pencapaian itu lebih baik berbanding penganjuran MAHA sebelum ini dan pihaknya menyasarkan jualan terus dipertingkatkan dalam tempoh tiga hari terakhir MAHA 2026.

“NAFAS Bajakimia telah menjual 350 beg sepanjang enam hari ini dan kami sasarkan lebih banyak jualan untuk tiga hari lagi sebelum menutup tirai.

“Kami harap ia dapat melebihi sasaran asal kami,” katanya kepada Bernama selepas pelancaran baja Premium Care di MAHA 2026 di sini hari ini.

Pelancaran baja Premium Care, yang merangkumi Premium Care 34+ dan Premium Care 5 yang dibangunkan untuk memenuhi keperluan pembajaan tanaman secara lebih berkesan, disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Zalifudin berkata Premium Care 34+ diperkasakan dengan teknologi Nutrient Protection Enhancer (NPE) bagi membantu mengekalkan nutrien dalam tanah lebih lama serta membolehkan tanaman mengoptimumkan pengambilan nutrien untuk menyokong tumbesaran buah.

Beliau berkata Premium Care 5 pula, dengan kombinasi NPK (Nitrogen, Phosphorus, Potassium) tidak melebihi lima dan asid humik sebanyak 50 peratus, membekalkan nutrisi seimbang serta memulihkan struktur tanah bagi meningkatkan produktiviti tanaman.

Menurut Zalifudin, NBKSB turut merancang memperluaskan rangkaian Premium Care menerusi tiga formulasi baharu, iaitu 45D, 16D dan 10D bagi memenuhi keperluan pelbagai jenis tanaman seperti buah-buahan, termasuk durian.

Beliau ketika mengulas mengenai pelancaran baja Premium Care berkenaan berkata usaha NAFAS melalui NBKSB mencerminkan keupayaan agensi itu memperkukuh inovasi input pertanian dengan menggabungkan pembangunan produk, teknologi pembajaan dan penyelidikan bagi memenuhi keperluan komuniti peladang serta sektor pertanian negara.

Pada majlis berkenaan, NBKSB turut memeterai memorandum perjanjian (MoA) bernilai RM600,039 bersama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia bagi tempoh dua tahun untuk membangunkan Controlled Release Fertilizer (CRF) Baja Super Durian Peladang serta menilai keberkesanannya terhadap pertumbuhan tanaman dan kualiti hasil.

MAHA 2026 bertemakan “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan” berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 Sept ini.

-- BERNAMA