KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Koroner yang bertujuan memperjelas pengendalian kes kematian dijangka dibentangkan di Parlimen tahun depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau berkata RUU itu pada asalnya disasarkan untuk dibentangkan tahun ini, namun mengambil kira sesi Belanjawan 2027 pada Oktober menyebabkan pembentangannya lebih sesuai dibuat tahun depan.
Azalina berkata penggubalan undang-undang khusus itu antara lain diharap dapat menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih jelas, selain memperincikan peranan koroner dan pihak berkaitan dalam pengendalian sesuatu kes kematian.
“Diharap dengan akta ni, kita dapat establish SOP tertentu dan persoalan-persoalan yang timbul dapat dijawab. Kita tak mahu bila ada kematian, keluarga (mangsa) mencari-cari jawapan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Tinjauan Pendapat Awam Mengenai Penggubalan RUU Koroner di sini hari ini.
Azalina berkata walaupun prosedur berkaitan siasatan kematian ketika ini telah diperuntukkan menerusi undang-undang sedia ada, Akta Koroner kelak akan melengkapkan peruntukan berkenaan dan memberikan kejelasan lebih menyeluruh mengenai pelaksanaannya.
Terdahulu dalam ucapannya, Azalina berkata undang-undang khusus mengenai koroner dipertimbangkan dengan tiga matlamat utama, iaitu mewujudkan kerangka undang-undang yang jelas dan menyeluruh, membentuk sistem koroner yang lebih tersusun, bebas dan telus, serta memperjelas tanggungjawab setiap pihak apabila sesuatu kematian dilaporkan.
“Kita juga mahu sistem yang bukan sahaja menentukan punca kematian, tetapi mampu mengenal pasti kelemahan bagi mencegah tragedi yang sama daripada berulang.
“Jika sesuatu kematian mendedahkan kelemahan dalam sistem, dapatan koroner tidak seharusnya berhenti di dalam fail kerana pengajaran yang diperoleh daripada sesuatu kes itu seharusnya dapat membantu kita melindungi nyawa yang lain,” katanya.
Azalina berkata Malaysia ketika ini mempunyai kerangka pelaksanaan inkues yang diperuntukkan di bawah Kanun Tatacara Jenayah, khususnya Seksyen 328 hingga 341A, serta Arahan Amalan Bilangan 2 Tahun 2019.
Bagaimanapun, katanya siasatan kematian kini semakin kompleks dengan melibatkan antaranya bukti digital, analisis forensik, rekod perubatan, aspek keselamatan institusi serta penyelarasan pelbagai agensi.
Azalina berkata prosiding inkues Allahyarham Zara Qairina Mahathir yang sedang berjalan antara contoh yang mengingatkan tentang kepentingan pengurusan bukti, bedah siasat, penyelarasan antara agensi dan komunikasi dengan keluarga sejak awal.
Beliau turut merujuk kes Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, mendiang Teoh Beng Hock serta kematian dalam tahanan seperti mendiang A. Kugan dan mendiang S. Balamurugan sebagai peringatan mengenai pentingnya proses yang bebas, terperinci dan diyakini apabila timbul persoalan serius mengenai sesuatu kematian.
Beliau berkata keperluan terhadap reformasi undang-undang itu juga pernah dibangkitkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Majlis Peguam Malaysia, Laporan Suruhanjaya Tun Dzaiddin dan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai kematian Teoh Beng Hock.
“Prinsipnya mudah, keadilan tidak boleh bergantung kepada sama ada sesuatu kes itu menjadi tular sahaja. Setiap kematian yang wajib dilaporkan mesti menerima tahap penelitian yang serupa dan sewajarnya, sama ada ia mendapat perhatian seluruh negara ataupun hanya ditangisi oleh sebuah keluarga,” katanya.
Dalam pada itu, Azalina berkata kerajaan turut meneliti cadangan penubuhan Suruhanjaya Reformasi Undang-Undang sebagai mekanisme tetap, khusus dan berstruktur untuk mengkaji undang-undang negara serta mengemukakan syor pembaharuan secara sistematik, berterusan, bebas dan berasaskan bukti.
Beliau berkata reformasi undang-undang tidak seharusnya bersifat ad hoc atau hanya digerakkan apabila berlaku sesuatu krisis, sebaliknya perlu dilaksanakan secara terancang bagi memastikan kerangka perundangan negara kekal relevan dan responsif terhadap keperluan semasa masyarakat.
-- BERNAMA