Am 30/08/2026 06:35 PM

Hari Kebangsaan 2026: Rancang Perjalanan, Tiba Awal Susulan Penutupan Jalan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Hari Kebangsaan 2026: Rancang Perjalanan, Tiba Awal Susulan Penutupan Jalan
fb Kementerian Dalam Negeri - KDN

PUTRAJAYA, 30 Ogos (Bernama) -- Orang ramai yang merancang menghadiri Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya di sini esok dinasihatkan merancang perjalanan dan tiba lebih awal susulan penutupan beberapa jalan utama di sekitar pusat pentadbiran kerajaan itu.

Berdasarkan hantaran infografik yang dimuat naik di Facebook Merdeka360, penutupan itu melibatkan core island Putrajaya dan beberapa jalan bermula 5 pagi hari ini hingga 6 petang esok bagi melancarkan perjalanan sempena sambutan berkenaan.

Penutupan itu melibatkan Jambatan Seri Wawasan, Jambatan Seri Saujana, Jambatan Seri Gemilang, Jambatan Putra dan Jambatan Seri Ehsan, manakala Jambatan Seri Bestari serta Jambatan Seri Setia kekal dibuka.

Beberapa laluan lain yang dijangka turut terjejas termasuk Lebuh Bestari, Lebuh Setia, Lebuh Saujana, Lebuh Gemilang, Lebuh Wawasan, Lebuh Sentosa, Jalan Tun Hussein, Persiaran Barat dan Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

“Orang ramai juga digalakkan menggunakan perkhidmatan bas ulang-alik secara percuma serta mendapatkan maklumat terkini menerusi saluran media sosial Perbadanan Putrajaya,” menurut infografik tersebut.

Sementara itu, menerusi video yang dikongsikan di platform sama, pengunjung dinasihatkan membuat persediaan menghadapi cuaca panas dengan membawa bekalan air mineral mencukupi, cermin mata hitam, payung dan topi selain pelitup muka.

Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 bertemakan “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati” itu dijadual bermula 8 pagi, dengan lebih 80,000 pengunjung dijangka hadir bagi menyemarakkan hari bersejarah itu.

-- BERNAMA