KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Bernama) -- Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) menyambut baik keputusan kerajaan mengembalikan kelayakan asas Program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan mulai 1 Sept ini, yang disifatkan memberi kelegaan kepada sebahagian besar pengamal media.
Presiden GKMM Mohd Fauzi Ishak berkata kelegaan itu khususnya kepada pengamal media yang bertugas di negeri-negeri, yang sebelum ini berdepan kesulitan dan terpaksa menambah perbelanjaan bulanan.
"Perbelanjaan ini tentunya bagi menampung kos logistik untuk ulang-alik ke tempat kerja, yang turut meliputi keperluan ke tempat tugasan serta liputan pelbagai program dan acara setiap hari.
"Pengembalian semula kelayakan asas BUDI RON95 sepertimana dimohon oleh GKMM sebelum ini, tentunya akan memastikan seluruh pengamal media dapat terus memainkan peranan memberikan liputan terbaik selain menyampaikan maklumat dengan pantas kepada seluruh rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata GKMM juga berharap pihak syarikat dan seluruh agensi media di negara ini meneliti keperluan memperkenalkan insentif baharu atau elaun tertentu, khususnya kepada pengamal media masing-masing, seiring peningkatan kos dan perbelanjaan bagi menyempurnakan tugasan ketika ini.
Katanya, kos perjalanan atau logistik pada masa ini menjadi antara perbelanjaan besar yang perlu ditanggung sebilangan besar pengamal media setiap bulan, terutama yang bertugas di negeri-negeri.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini berkata keputusan tersebut akan memanfaatkan lebih 16 juta pengguna menikmati RON95 bersubsidi.
Pada 26 Mac lepas, kerajaan mengumumkan pelaksanaan penyelarasan kelayakan BUDI95 daripada 300 liter sebulan kepada 200 liter sebulan bermula 1 April 2026 susulan konflik di Asia Barat, dengan harga RON95 bersubsidi kekal pada RM1.99 seliter.
-- BERNAMA