KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Bernama) -- Jemaah Menteri memanifestasikan semangat patriotisme menerusi platform media sosial masing-masing bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan, dengan menyeru seluruh rakyat Malaysia memperkukuh semangat kebersamaan dan cintakan negara.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di laman Facebook, X, dan Instagram, menteri-menteri Kabinet mengingatkan bahawa kemerdekaan yang dinikmati hari ini adalah hasil usaha gigih dan pengorbanan generasi terdahulu yang perlu dipertahankan demi masa depan negara.
Antara yang menarik perhatian, video berdurasi lapan minit menampilkan seniman veteran tersohor, Datuk Jalaluddin Hassan, yang memegang watak seorang datuk bersantai bersama cucunya sambil menyampaikan mesej mengenai pengorbanan, perpaduan dan amanah terhadap negara.
Klip emosi yang dikongsikan dalam akaun Facebook Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof itu turut diselitkan dengan amanat khas beliau sendiri.
“Malaysia adalah milik kita bersama, peliharalah kedaulatannya, hormatilah perbezaannya dan perkukuhkanlah semangat kebersamaan agar negara kita terus gemilang pada mata dunia. Ayuh semarakkanlah rasa cinta, tanggungjawab dan kesetiaan kepada tanah air. Kibarkan Jalur Gemilang dengan penuh kebanggaan,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula menyeru seluruh rakyat memelihara perpaduan dan memperkukuh negara, selain menyifatkan pengumuman dalam Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 sebagai bukti komitmen kerajaan yang sentiasa mendengar denyut nadi masyarakat.
Beliau berkata Kerajaan Perpaduan akan terus memastikan setiap dasar, peruntukan dan keputusan yang dibuat berpaksikan keperluan sebenar rakyat agar manfaat pembangunan dapat dirasai secara menyeluruh segenap lapisan masyarakat.
Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata kemerdekaan perlu diisi dengan aspirasi pembinaan negara bangsa yang kukuh demi menjamin masa depan Malaysia yang harmoni.
“Pembinaan negara bangsa tidak bermaksud kita perlu melupakan bahasa, budaya, agama atau asal usul masing-masing. Kita tidak perlu menjadi serupa untuk menjadi satu. Sebaliknya, kita perlu membina identiti bersama yang lebih besar daripada segala perbezaan, iaitu identiti sebagai rakyat Malaysia.
“Tanggungjawab generasi kita ialah membebaskan negara daripada prasangka, kebencian dan perpecahan kerana kekuatan sesebuah negara bukan hanya terletak pada ekonominya, bangunannya atau kedudukannya di dunia. Kekuatan sebenar negara terletak pada kepercayaan antara rakyatnya,” katanya.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata usaha mempertahankan kedaulatan negara menuntut penglibatan dan daya tahan seluruh warga, bukannya bergantung kepada kekuatan ketenteraan semata-mata.
Melalui pendekatan Pertahanan Menyeluruh (HANRUH), beliau berkata setiap individu memainkan peranan memelihara ketenteraman awam tanpa perlu mengangkat senjata.
“Walau berbeza kaum, agama dan latar belakang, kita berkongsi tanah air dan masa depan yang sama. Perpaduan inilah antara kekuatan terbesar dalam mempertahankan keamanan dan kemerdekaan negara,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terus berkhidmat mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pula berkata keamanan dan keselamatan yang dinikmati negara hari ini menjadi asas utama kepada kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi seluruh rakyat Malaysia.
Beliau berkata tema Hari Kebangsaan 2026 “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, mengingatkan semua pihak bahawa kesejahteraan negara lahir daripada keharmonian yang dipelihara secara berterusan.
“Hakikatnya, keamanan bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata. Setiap individu rakyat harus memainkan peranan kita. Hormati undang-undang, hargai perbezaan pandangan antara kita, pelihara perpaduan.
“Apabila keselamatan negara terjaga, kestabilan politik akan berlaku, kemakmuran ekonomi akan dapat dinikmati, kek ekonomi akan menjadi lebih besar dan setiap rakyat akan dapat menikmati bahagiannya,” katanya.
Dalam pada itu, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan menyeru rakyat Malaysia mengisi kemerdekaan dengan memperkukuh perpaduan dan memastikan kemajuan negara dapat dirasai setiap lapisan masyarakat.
Beliau berkata kepelbagaian adalah kekuatan yang menyatukan negara dalam sebuah keluarga besar Malaysia, dan semangat kebersamaan, kerja keras dan rasa cinta terhadap tanah air bakal membawa Malaysia menuju masa depan yang lebih gemilang.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali pula menyifatkan kemerdekaan yang dinikmati hari ini sebagai amanah besar, yang menuntut generasi kini mempertahankan keamanan dan memelihara keharmonian merentas kepelbagaian latar belakang.
Beliau menyeru rakyat memperbaharui tekad bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2026 untuk terus memainkan peranan masing-masing bagi memastikan limpahan kemajuan negara dapat dirasai oleh seluruh masyarakat.
-- BERNAMA