Dunia 30/08/2026 10:06 PM

China Berjaga-jaga Selepas Tasik Baharu Terbentuk Susulan Banjir Besar Di Himalaya

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
China Berjaga-jaga Selepas Tasik Baharu Terbentuk Susulan Banjir Besar Di Himalaya
-- Jigme DorjeXinhua via AP

BEIJING, 30 Ogos (Bernama-dpa) -- Pihak berkuasa China berada dalam keadaan berjaga-jaga pada Ahad selepas sebuah tasik baharu terbentuk di kawasan Himalaya susulan banjir kilat besar yang berlaku minggu ini di sempadan Nepal-China, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Pihak berkuasa pengurusan bencana China berkata pakar sedang memantau tasik berkenaan menggunakan dron tinjauan, berikutan kebimbangan bahawa air yang terkumpul boleh mencetuskan satu lagi banjir sekiranya ia menerobos timbunan lumpur dan serpihan yang menahannya.

Tasik itu ditemui lewat Sabtu selepas kejadian tanah runtuh menyebabkan air bertakung, menurut pihak berkuasa.

Anggota penyelamat di kawasan hilir berhampiran pintu sempadan Gyirong -- laluan darat utama antara China dan Nepal -- dipindahkan ke tempat selamat sebagai langkah berjaga-jaga. Pasukan penyelamat China sedang menumpukan usaha mencari kemungkinan mangsa berada di kawasan berkenaan.

Sebuah lagi tasik sementara sebelum ini mencetuskan kebimbangan selepas terbentuk di sepanjang Sungai Purepuqiang-Zangbu di barat daya Tibet, namun kemudiannya mengering secara semula jadi, menurut pihak berkuasa.

Ancaman banjir susulan berulang kali mengganggu usaha menyelamat di kedua-dua belah sempadan. Amaran banjir baharu di zon bencana di Nepal kembali mencetuskan kebimbangan pada pagi Ahad.

Sekurang-kurangnya 734 orang maut di Nepal, menurut pihak berkuasa pada Ahad manakala hampir 2,500 orang masih hilang. Media Kerajaan China melaporkan sekurang-kurangnya 16 kematian dengan 546 orang masih hilang. Ratusan warga asing turut dilaporkan antara mereka yang hilang.

-- BERNAMA-dpa