Am 30/08/2026 09:36 PM

Sekretariat Jaringan Masjid Nasional Dan Serantau Akan Ditubuh, Perkasa Institusi Masjid

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Sekretariat Jaringan Masjid Nasional Dan Serantau Akan Ditubuh, Perkasa Institusi Masjid
Mohd Azmi Abdul Hamid

IPOH, 30 Ogos (Bernama) -- Persidangan Masjid Serantau 2026 memutuskan penubuhan Sekretariat Jaringan Masjid Nasional dan Serantau dengan kadar segera bagi memastikan agenda memperkasakan institusi masjid di rantau ini dapat digerakkan secara tersusun serta berterusan.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Mohd Azmi Abdul Hamid berkata sekretariat itu akan menyelaras hubungan antara masjid di rantau ini selain mengendalikan pendaftaran anggota, pengumpulan data, latihan sukarelawan serta perhubungan awam dan antarabangsa.

Beliau berkata sebanyak 1,000 masjid disasarkan mendaftar sebagai anggota sekretariat dalam tempoh empat hingga lima bulan akan datang, sebelum jaringan itu diperluas menerusi pelaksanaan pelbagai program bersama.

“Selepas ada rangkaian itu, kita akan mengadakan mekanisme melatih sukarelawan masjid, terutama dalam kalangan anak muda, dengan sasaran kira-kira 500 sukarelawan di rantau ini.

“Selain itu, kita akan segera membina bank data masjid di ASEAN yang jumlahnya lebih 1.3 juta, dengan Malaysia antara negara diberi keutamaan kerana sudah mempunyai data berkaitan,” katanya kepada Bernama  pada Penutupan Persidangan Masjid Serantau 2026 di Casuarina Convention Centre di sini hari ini.

Mohd Azmi berkata sekretariat berkenaan turut akan membangunkan hubungan digital dengan masjid-masjid di seluruh rantau ini bagi memudahkan perkongsian maklumat serta penyelarasan program pada masa akan datang.

Beliau berkata sekretariat itu juga akan mempunyai beberapa unit khusus termasuk pendataan, latihan, perhubungan awam dan perhubungan antarabangsa bagi memastikan agenda yang dipersetujui dalam persidangan dapat dilaksanakan.

Selain itu, beliau berkata pihak masjid juga perlu berfungsi dalam membantu meningkat pendidikan anak kariah.

“Selepas terbentuknya sekretariat itu, ia akan menghasilkan manual pengurusan masjid dengan mengambil kira pendekatan berbeza di setiap negara supaya fungsi dan peranan masjid dapat diperkasakan mengikut konteks negara masing-masing.

“Pelan ini akan dilaksanakan dalam tempoh 2026 hingga 2037 dengan penilaian berkala bagi mengukur pencapaian, mengenal pasti masalah dan menambah baik pelaksanaannya kerana usaha itu penting bagi menangani isu kepimpinan, pengurusan serta potensi perpecahan dalam kalangan jemaah, selain memastikan masjid benar-benar berfungsi sebagai pusat penyatuan masyarakat Islam di rantau ini.

Beliau berkata isu Palestin dan Al-Aqsa turut menjadi antara agenda jaringan berkenaan, termasuk penyelarasan bantuan ke Gaza serta kempen memperingati tiga tahun Taufan Al-Aqsa pada 7 Okt depan.

Persidangan Masjid Serantau 2026 dengan tema Masjid Memperkasa Ummah Global: Kesatuan, Kesejahteraan dan Pembebasan Al-Aqsa itu menghimpunkan kepimpinan masjid, ulama serta aktivis masyarakat dari rantau Asia Tenggara.

Persidangan yang bermula semalam itu menghimpunkan 200 peserta termasuk dari Singapura, Filipina, Vietnam, Kemboja dan Turkiye, selain diisi dengan pelbagai program antaranya Malam Gala Amal Palestin dan Al-Aqsa serta sesi ceramah.

-- BERNAMA