TAIPING, 30 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perak sedang menunggu laporan terperinci daripada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak, mengenai gempa bumi lemah berukuran 3.4 magnitud dikesan berlaku di Temenggor, Gerik pada Jumaat.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Teh Kok Lim berkata berdasarkan maklumat awal, gempa bumi berukuran kurang daripada 5.0 magnitud merupakan pergerakan tanah yang minimum dan tidak perlu dibimbangkan buat masa ini.
“Saya masih menunggu laporan terkini daripada JMG. Tetapi untuk gempa bumi yang tidak melebihi lima (magnitud) itu, ia merupakan satu gerakan dalam tanah.
“Jadi, buat masa ini boleh dikatakan tidak perlu risau, tetapi pemantauan akan terus dijalankan dan kita tidak akan pandang ringan terhadap masalah ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program MADANI Kita 2026, di Dataran Warisan Taiping di sini hari ini.
Teh berkata kejadian gempa bumi itu, bagaimanapun boleh dianggap sebagai peringatan awal, namun berdasarkan pengalaman dan maklumat sedia ada, pergerakan bumi yang berlaku adalah pada tahap minimum.
Tiga hari lepas, satu gempa bumi lemah berukuran 3.4 magnitud dikesan berlaku di Temenggor pada Jumaat lalu.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan memaklumkan kejadian pada 12.06 tengah malam itu berlaku pada koordinat 5.5 darjah Utara dan 101.3 darjah Timur, selain pusat gempa terbabit terletak 9 kilometer (km) timur laut dari Hulu Perak dengan kedalaman 10km.
-- BERNAMA