Am 30/08/2026 08:10 PM

Anak Muda MADANI Kedah Rancang Acara Sukan Antarabangsa Tarik Pelancong Ke Langkawi

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Anak Muda MADANI Kedah Rancang Acara Sukan Antarabangsa Tarik Pelancong Ke Langkawi

LANGKAWI, 30 Ogos (Bernama) -- Badan bukan kerajaan (NGO) Anak Muda MADANI Kedah merancang untuk menganjurkan pelbagai acara sukan bertaraf antarabangsa dalam usaha menarik lebih ramai pelancong ke Pulau Langkawi.

Pengerusi Anak Muda MADANI Kedah Datuk Zuraidi Rahim berkata antara yang dirancang ialah pertandingan push bike yang dijangka disertai kira-kira 12 negara termasuk Jepun, Thailand, Singapura, Indonesia, Vietnam dan China.

Beliau berkata pasukan dari Jepun telah mengesahkan penyertaan untuk menyertai pertandingan yang dijangka diadakan dalam masa terdekat itu.

“Banyak acara push bike sebelum ini dianjurkan di Thailand dan Indonesia. Sebab itu saya telah berbincang dengan rakan-rakan untuk mengadakan pertandingan bertaraf antarabangsa di Langkawi dan menjemput kira-kira 12 negara.

“Jepun telah memberi kata putus untuk menyertai acara ini, selain penyertaan dari Thailand, Singapura, Indonesia, Vietnam dan China,” katanya di sini hari ini.

Zuraidi berkata penganjuran acara berkenaan mampu menarik peserta dan penyokong dari luar negara, sekali gus merancakkan sektor pelancongan Langkawi.

Beliau berkata pihaknya turut merancang memperluas program berasaskan sukan, termasuk silat dan bola sepak, selain bercadang membawa acara RXZ Member ke Langkawi.

“Saya akan berbincang dengan kerajaan negeri dan pihak berkuasa supaya setiap tahun, kalau boleh acara yang biasanya dibuat di Terengganu turut diadakan di Langkawi,” katanya.

Beliau berkata semua cadangan itu akan dilaksanakan mengikut prosedur dan peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa.

-- BERNAMA