Am 30/08/2026 08:00 PM

Semangat Menang-menang Percepat Transformasi Ekonomi Sarawak, Sabah - Abang Johari

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Semangat Menang-menang Percepat Transformasi Ekonomi Sarawak, Sabah - Abang Johari
fb Suara Sarawak

KUCHING, 30 Ogos (Bernama) -- Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg yakin semangat menang-menang antara pemimpin Persekutuan, Sarawak dan Sabah mampu mempercepat transformasi ekonomi wilayah daripada berasaskan komoditi kepada ekonomi hijau, berteknologi tinggi dan lestari.

Beliau berkata keyakinan itu turut didorong komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terus memperkukuh kerjasama dengan Sarawak dan Sabah demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan yang lebih adil dan seimbang.

 “Sempena Hari Kebangsaan ke-69, marilah kita terus menghargai keamanan dan keharmonian yang kita nikmati selama ini serta memelihara perpaduan dalam masyarakat yang berbilang kaum dan agama,” katanya dalam perutusan sempena Hari Kebangsaan hari ini.

Abang Johari berkata tidak dapat dinafikan banyak yang telah dilaksanakan ke arah mencapai status ekonomi dan sosial yang moden serta progresif sepanjang 63 tahun Sarawak berada dalam naungan Malaysia.

Selain itu, beliau berkata Sarawak terus mendapat perhatian badan bertaraf antarabangsa seperti Asian Development Bank (ADB) susulan usaha gigih mentransformasikan negeri sebagai hab ekonomi hijau di rantau ini.

“Minggu hadapan saya akan mengetuai rombongan ke Manila, Filipina susulan pertemuan dengan pihak ADB sebelum ini untuk memperkukuh jalinan kerjasama dengan bank itu bagi kepentingan bersama ke arah pembangunan ekonomi hijau dan infrastruktur Tanjung Embang,” katanya.

Abang Johari berkata Sarawak mencatatkan hasil sebanyak RM12.5 bilion pada 2025 dan RM14.2 bilion pada 2024 yang menjadi antara pencapaian penting dalam sejarah kewangan negeri.

“Saya percaya hasil negeri akan terus bertambah dengan sektor ekonomi yang semakin berkembang seperti perlombongan minyak dan gas serta peningkatan rantaian nilai sumber negeri,” katanya.

-- BERNAMA