PUTRAJAYA, 30 Ogos (Bernama) -- Belia yang berminat untuk menyertai Program AI Untuk Rakyat perlu melengkapkan dan lulus enam modul yang ditetapkan bagi melayakkan mereka menikmati langganan percuma selama tiga bulan untuk pelbagai aplikasi dan perisian kecerdasan buatan (AI) terpilih.
Kementerian Digital dalam kenyataan hari ini memaklumkan enam modul berkenaan ialah AI Nation 2030: Pendekatan MADANI; CYBERSAFE untuk Rakyat; AI Generatif; Keselamatan AI; Agentik AI untuk Semua; dan Cloud untuk Rakyat.
“Peserta yang berjaya menyempurnakan dan lulus kesemua modul kursus yang ditetapkan akan menikmati langganan percuma selama tiga bulan bagi pelbagai aplikasi dan perisian AI terpilih.
“Sebagai permulaan, peserta yang layak akan diberikan akses khas kepada alatan AI daripada penyedia teknologi tempatan dan antarabangsa, iaitu YTL AI Labs – IlmuChat; Alibaba – Wonderclip dan MuleRun; serta Google – Gemini Enterprise,” menurut kenyataan itu.
Kementerian Digital memaklumkan belia yang berminat boleh mendaftar melalui portal Rakyat Digital di rakyatdigital.gov.my.
Kenyataan itu memaklumkan bagi memperkayakan lagi pengalaman pembelajaran, pelbagai perisian dan alatan AI daripada syarikat teknologi lain akan ditambah secara berperingkat dari semasa ke semasa.
Menurut kenyataan itu, inisiatif berkenaan membuka ruang kepada belia untuk meneroka teknologi canggih secara praktikal, sekali gus membantu meningkatkan kreativiti, produktiviti dan kemahiran digital mereka.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan kemajuan teknologi AI dapat dimanfaatkan secara lebih meluas oleh rakyat, khususnya golongan belia, selaras dengan aspirasi Malaysia untuk membangunkan sebuah Negara AI yang inklusif menjelang 2030, sejajar dengan aspirasi Malaysia Digital 2030,” menurut kenyataan itu.
Program AI Untuk Rakyat diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini sebagai satu daripada enam ikhtiar untuk rakyat bagi membuka lebih banyak peluang digital kepada belia Malaysia, bersempena Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini.
Program AI untuk Rakyat akan bermula hari ini secara berfasa melalui portal Rakyat Digital yang baharu dan program ini disasarkan kepada 100,000 belia Malaysia berusia 18 hingga 30 tahun sehingga 2027.
Rakyat Digital merupakan portal pembelajaran digital negara, sebuah inisiatif Kementerian Digital yang diterajui oleh MyDIGITAL Corporation.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Digital Datuk Fabian Bigar berkata Program AI Untuk Rakyat merupakan langkah penting untuk memastikan golongan belia bukan sahaja memahami teknologi AI, malah mempunyai akses kepada alat AI yang boleh dimanfaatkan untuk pembelajaran, kreativiti dan peningkatan produktiviti.
"Melalui inisiatif ini, kita mahu memastikan manfaat AI dapat dirasai secara lebih meluas dan inklusif, selaras dengan aspirasi kerajaan untuk membina masyarakat yang celik dan bersedia menghadapi masa depan digital," katanya.
-- BERNAMA