Am 29/08/2026 10:28 AM

Niaga Hadapan Emas Dijangka Kekal Kukuh Minggu Depan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Niaga Hadapan Emas Dijangka Kekal Kukuh Minggu Depan

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka kekal disokong minggu depan, dengan harga emas semasa dilihat berlegar sekitar US$4,590 hingga US$4,610 setiap auns troy di tengah-tengah berkurangnya jangkaan mengenai kenaikan kadar Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS). 

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata jangkaan mengenai pendirian dasar monetari yang kurang agresif oleh Rizab Persekutuan boleh terus menyokong permintaan untuk logam berharga itu. 

“Memandangkan kemungkinan kenaikan kadar faedah yang lebih rendah oleh Rizab Persekutuan AS, harga emas semasa dijangka terus berlegar sekitar US$4,590 hingga US$4,610 setiap auns troy, walaupun terdapat kemungkinan pengambilan untung secara berselang-seli,” katanya kepada Bernama.

Pasaran akan memantau dengan rapi data gaji bukan ladang (NFP) dan ISM AS minggu depan bagi mendapatkan petunjuk seterusnya mengenai prospek kadar faedah Rizab Persekutuan.  

Bagi asas mingguan, kontrak semerta bulan Ogos 2026 meningkat kepada US$4,602.00 setiap auns troy daripada US$4,586.40 minggu sebelumnya, manakala kontrak September 2026 mengukuh kepada US$4,619.30 daripada US$4,602.90.

Kontrak Oktober dan November 2026 menokok kepada US$4,635.50 setiap auns troy daripada US$4,619.90, manakala kontrak Disember 2026 dan Februari 2027 meningkat kepada US$4,643.30 daripada US$4,627.70.

Jumlah dagangan minggu melonjak kepada 1,713 lot daripada 1,233 lot minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 415 kontrak kepada 327 kontrak. 

Harga emas fizikal ditetapkan pada US$4,568.95 setiap auns troy pada penetapan London Bullion Market Association pada 27 Ogos 2026. 

-- BERNAMA