NEW YORK, 29 Ogos (Bernama-Xinhua) -- Wakil khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Haiti pada Jumaat menggesa peningkatan sokongan keselamatan antarabangsa untuk negara itu susulan satu pembunuhan beramai-ramai oleh kumpulan samseng yang mengorbankan sekurang-kurangnya 47 orang, lapor Xinhua.
Ruiz Massieu, wakil khas Setiausaha Agung PBB dan ketua Pejabat Bersepadu PBB di Haiti, membuat rayuan itu dalam mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan selepas kumpulan samseng membunuh sekurang-kurangnya 47 orang di kawasan Kenscoff, berhampiran ibu kota Port-au-Prince, awal minggu ini.
"Insiden menyayat hati terbaharu ini merupakan peringatan jelas mengenai keperluan mendesak untuk terus memperkukuh sokongan keselamatan antarabangsa bagi Haiti," katanya.
Pihak berkuasa Haiti pada Rabu menggembleng Polis Kebangsaan Haiti, Angkatan Tentera Haiti dan Pasukan Pembasmian Geng (GSF) pelbagai negara bagi menilai situasi serta menyelaras operasi.
GSF akan memperkukuh kehadirannya di kawasan Port-au-Prince manakala pasukan keselamatan negara akan mempertingkatkan penempatan anggota di Kenscoff, kata Massieu.
"Institusi keselamatan negara tidak boleh dibiarkan menghadapi ancaman ini tanpa sokongan mencukupi. GSF ialah komponen penting dalam tindak balas antarabangsa yang diberi mandat oleh Majlis (Keselamatan) ini. Penempatannya yang pantas dan menyeluruh adalah amat penting," katanya.
Massieu menegaskan kerjasama berterusan antara pihak berkuasa Haiti dan GSF penting bagi melindungi masyarakat serta memulihkan keyakinan orang ramai.
Serangan itu berlaku pada saat kritikal dalam peralihan politik Haiti. Tanpa peningkatan tahap keselamatan, usaha memperkukuh tadbir urus, memajukan proses politik dan membuat persiapan bagi pilihan raya akan terus menghadapi kekangan yang serius, katanya.
Bagaimanapun, operasi keselamatan sahaja tidak dapat memberikan kestabilan yang berkekalan, Massieu memberi amaran.
Ia mesti disertai usaha memulihkan kuasa negeri dan perkhidmatan asas, membuka semula sekolah dan kemudahan kesihatan, mewujudkan peluang mata pencarian dan mengurangkan keganasan komuniti.
Beliau turut menyeru laluan yang boleh dipercayai untuk melepaskan diri daripada kumpulan samseng, terutamanya untuk kanak-kanak dan golongan muda yang direkrut dan dieksploitasi oleh mereka, serta akauntabiliti bagi pihak yang bertanggungjawab atas keganasan kumpulan samseng dan mereka yang membiayai dan mempersenjatai kumpulan itu.
Pengaktifan unit kehakiman khusus untuk menyiasat jenayah besar-besaran, keganasan seksual dan jenayah kewangan akan menjadi penting untuk memperkukuh kedaulatan undang-undang serta memulihkan keyakinan orang ramai terhadap institusi negeri, katanya.
"PBB kekal komited sepenuhnya untuk menyokong usaha yang dipimpin oleh Haiti demi meningkatkan keselamatan, memajukan proses politik dan mewujudkan keadaan yang diperlukan untuk sebuah negara yang aman, inklusif dan stabil," kata Massieu.
-- BERNAMA-XINHUA