Am 29/08/2026 02:11 PM

2,354 Anggota, Pegawai Polis Ditugaskan Pada Sambutan Hari Kebangsaan 2026

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
2,354 Anggota, Pegawai Polis Ditugaskan Pada Sambutan Hari Kebangsaan 2026
Pelbagai persembahan menarik dan pertunjukan kreatif yang mengetengahkan kepelbagaian seni serta budaya negara mencuri tumpuan pada sesi Raptai Penuh Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya hari ini. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

PUTRAJAYA, 29 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 2,354 anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditugaskan bagi memastikan keselamatan dan kelancaran sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya pada Isnin ini, berada pada tahap tertinggi.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Aidi Sham Mohamed berkata penugasan itu, melibatkan kawalan statik dan kawalan lalu lintas di lokasi-lokasi strategik di kawasan penganjuran acara tahunan itu.

“Bagi orang ramai, saya menasihatkan mereka untuk datang awal ke Dataran Putrajaya dan mematuhi segala peraturan pihak berkuasa.

“Ia termasuk jangan meletakkan kenderaan di tempat yang dilarang, jangan menghalang lalu lintas dan pada masa yang sama, jaga keselamatan diri terutamanya jaga keselamatan anak-anak dan harta benda,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir raptai penuh sambutan Hari Kebangsaan 2026 yang dihadiri Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil, di sini hari ini.

Aidi Sham turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membawa sebarang senjata berbahaya ketika menghadiri sambutan Hari Kebangsaan.

“Jangan membawa sebarang senjata berbahaya juga untuk tujuan kita memeriahkan Hari Kebangsaan kita pada tahun ini,” katanya.

Terdahulu, Fahmi berkata sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos ini, setakat ini akan diadakan seperti biasa,

Bertemakan “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, sambutan Hari Kebangsaan ke-69 akan diadakan di Dataran Putrajaya dengan jangkaan lebih 80,000 pengunjung hadir menyaksikan bagi menyemarakkan hari yang penuh bersejarah itu.

-- BERNAMA