Am 29/08/2026 02:28 PM

Tahap IPU Sangat Tidak Sihat Terus Direkod Di Sri Aman, 28 Kawasan Lain Turut Terjejas

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Tahap IPU Sangat Tidak Sihat Terus Direkod Di Sri Aman, 28 Kawasan Lain Turut Terjejas

PUTRAJAYA, 29 Ogos (Bernama) -- Kualiti udara di Sri Aman, Sarawak terus mencatatkan tahap sangat tidak sihat dengan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) mencecah 221 setakat 9 pagi ini, manakala 28 kawasan lain di seluruh negara merekodkan tahap tidak sihat.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS) Azuri Azizah Saedon dalam kenyataan hari ini berkata 39 kawasan lagi, mencatatkan kualiti udara pada tahap sederhana.

Beliau berkata antara kawasan yang mencatatkan IPU tidak sihat di Sarawak melibatkan IPD Serian (194), Sarikei (190), Kuching (169), Samarahan ( 168), Mukah (165), Sibu (161), Kapit (154) dan Bintulu (150).

Di Semenanjung, kualiti udara tidak sihat dikesan di Sungai Petani (161), Langkawi (157) dan Alor Setar (155) di Kedah; Minden (160), Seberang Perai (157) dan Seberang Jaya (156) di Pulau Pinang; Cheras (160) dan Batu Muda (155) di Kuala Lumpur; serta Putrajaya (155).

Turut terjejas ialah Taiping (155), Tanjung Malim (154), Tasek Ipoh (151)  dan Seri Manjung (110) di Perak; Shah Alam (154), Johan Setia (153) dan Petaling Jaya (133) di Selangor; Nilai (152) dan Seremban (136) di Negeri Sembilan; Kangar, Perlis (155) serta Segamat, Johor (142).

Azuri Azizah berkata kualiti udara dalam negara pada hari ini didapati merosot, disebabkan dipengaruhi oleh pergerakan asap jerebu dari pelbagai arah.

Beliau berkata berdasarkan laporan oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura semalam, serta imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20, terdapat 1,738 titik panas dikesan di Kalimantan, 36 di Sumatera dan enam dikesan di dalam negara, iaitu satu di Sabah dan lima di Sarawak.

“Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan oleh ASMC pada 28 Ogos menunjukkan, keadaan cuaca kering berterusan di kebanyakan kawasan di rantau ASEAN selatan, kecuali di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia dan bahagian utara Borneo yang menerima hujan.

Kelompok titik panas bertaburan hingga meluas dikesan di Kalimantan serta bahagian selatan dan tengah Sumatera, manakala beberapa titik panas dikesan di kawasan lain di rantau ASEAN selatan,” katanya.

Beliau turut berkata kepulan asap rentas sempadan sederhana hingga tebal dikesan di Kalimantan Barat dan bergerak ke arah utara memasuki bahagian barat Sarawak, manakala kepulan asap sederhana hingga tebal turut dikesan di beberapa kawasan lain di Kalimantan serta bahagian tengah dan selatan Sumatera. 

“Sementara itu, kepulan asap setempat ringan hingga sederhana dikesan di bahagian timur Jawa. 

“Beberapa stesen pemantauan kualiti udara di Kalimantan Barat, bahagian barat Sarawak dan Semenanjung Malaysia serta bahagian selatan dan tengah Sumatera, merekodkan bacaan pada tahap Tidak Sihat hingga Sangat Tidak Sihat,” katanya.

-- BERNAMA