KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Wakaf Tapai Muhammad Ammar Azli, yang muncul juara dalam bidang Welding pada Final of Professional Skills Championship (Professional) 2026 di Kaluga, Rusia.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata kejayaan pelajar itu mengharumkan nama Malaysia, sekali lagi membuktikan bahawa anak-anak pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) Malaysia, mempunyai bakat dan kemahiran untuk berdiri sama tinggi serta bersaing dengan yang terbaik pada peringkat dunia.
“Tahniah adik Muhammad Ammar! Melihat Jalur Gemilang berkibar di pentas antarabangsa hasil kemahiran anak muda TVET negara, tentunya menjadi satu kebanggaan buat kita semua.
“Syabas juga saya ucapkan kepada tenaga pengajar serta seluruh warga IKBN Wakaf Tapai dan Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS), yang telah membimbing dan mempersiapkan beliau sehingga mencapai kejayaan ini,” katanya.
Ahmad Zahid berkata selepas Rusia, Muhammad Ammar bakal membawa cabaran negara ke WorldSkills Shanghai 2026 pada September ini dan berharap pelajar itu terus mengorak langkah mencipta kejayaan serta memberikan yang terbaik untuk Malaysia.
“Semoga kejayaan ini menjadi pembakar semangat kepada lebih ramai anak muda untuk melihat TVET sebagai laluan membina kemahiran, kerjaya dan masa depan. Insya-Allah,” katanya.
Muhammad Ammar muncul juara bidang Welding dalam Final of Professional Skills Championship (Professional) 2026 yang berlangsung pada 19 hingga 26 Ogos di Kaluga, Rusia.
-- BERNAMA