Am 29/08/2026 12:27 PM

SK Taman Sri Muda Miliki Sistem Penuaian Air Hujan, Galak Pemuliharaan Air

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
SK Taman Sri Muda Miliki Sistem Penuaian Air Hujan, Galak Pemuliharaan Air
Kredit: Mahija Menon

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sri Muda di Shah Alam, Selangor kini memiliki sistem penuaian air hujan sendiri yang mengumpul air hujan untuk kegunaan harian, sekali gus mengurangkan kebergantungan pada air yang dirawat.

Sistem berkenaan yang dilaksanakan oleh Kelab Rotaract di Lembah Klang melalui projek “Catch the Rain, Ease the Strain”, telah beroperasi sepenuhnya dan menyalurkan air hujan yang dikumpul untuk menyiram pokok, mencuci kawasan sekolah dan mengepam tandas.

Projek itu disiapkan dengan sokongan padu daripada pemimpin tempatan dan masyarakat, dengan dana sebanyak RM31,000 berjaya dikumpul termasuk sumbangan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning Preakas Sampunathan.

Presiden Piagam Kelab Rotaract Lembah Klang Mahija Menon yang juga pengasas projek berkata sistem berkenaan mencerminkan pendekatan yang bukan sahaja mudah, tetapi juga praktikal untuk pemuliharaan air.

“Projek ini bukan sesuatu yang rumit, sebaliknya sistem praktikal yang sekolah boleh memanfaatkannya setiap kali hujan,” katanya selepas majlis perasmian projek itu di sekolah berkenaan, semalam.

Mahija berkata inisiatif itu bertujuan menyediakan penyelesaian air yang lestari kepada sekolah berkenaan sambil menggalakkan pelajar untuk memahami bahawa pemuliharaan air dapat dilakukan melalui langkah mudah dalam kehidupan seharian mereka.

Beliau berkata projek berkenaan akan berfungsi sebagai peluang pembelajaran praktikal kepada pelajar untuk menghargai kepentingan penggunaan air secara berhemat dan mengamalkan tabiat yang lestari sejak awal.

Projek ini juga tepat pada masanya ketika negara berdepan dengan fenomena El Nino yang menyebabkan taburan hujan berkurangan dan cuaca lebih panas dan kering. 

Sehubungan dengan itu, kelab berkenaan berharap sistem tersebut dapat berfungsi sebagai sumber yang berkekalan untuk sekolah dan pelajarnya, sambil memupuk kesedaran dalam kalangan generasi muda tentang kepentingan pemuliharaan air.

Inisiatif itu juga diharapkan dapat menggalakkan pelajar untuk menjadikan pemuliharaan air sebagai amalan seharian dan memberikan inspirasi dalam kalangan komuniti yang lebih luas.

-- BERNAMA