KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Lebih 2,500 peminat sukan badminton dari seluruh negara memeriahkan edisi keempat Piala Haier 2026 yang melabuhkan tirai baru-baru ini.
Haier Electrical Appliances (Malaysia) Sdn Bhd dalam kenyataan hari ini memaklumkan kejohanan itu melakar pencapaian baharu apabila meluaskan siri jelajahnya ke Sabah buat julung kali, selain memperkenalkan kategori terbuka di Selangor bagi memperkukuh jangkauan sukan berkenaan.
Persaingan sengit itu menyaksikan barisan juara dari lima negeri iaitu Sabah, Sarawak, Johor, Pulau Pinang dan Selangor membawa pulang sebahagian daripada hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM90,000, selain barangan eksklusif Haier serta tajaan Maxx.
Pengarah Urusan Haier Malaysia Sun Menghao berkata kejohanan itu bukan sahaja menyatukan komuniti badminton, malah menyemarakkan minat rakyat terhadap sukan berkenaan tanpa mengira peringkat umur mahupun tahap kemahiran.
“Kami terharu dapat menyediakan platform bermakna ini bagi tahun keempat berturut-turut dan dengan penyertaan Sabah buat julung kalinya tahun ini, kami dapat membawa kemeriahan badminton kompetitif kepada lebih ramai rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan sama.
Beliau berkata Haier Malaysia menyasarkan untuk meneroka negeri dan komuniti baharu pada edisi akan datang bagi memberi peluang kepada lebih ramai peminat badminton mengasah kemahiran serta mencabar keupayaan diri.
Bagi saingan Terbuka Sabah, gelaran juara perseorangan lelaki dimenangi Mah Yan Quan manakala gandingan Mahamir Mahaguli-Muhammad Aliff Isyraff menguasai beregu lelaki dan pasangan Lee Jia Ern-Tee Shun Xing menjuarai beregu campuran.
Bagi Terbuka Sarawak, juara perseorangan lelaki diraih oleh Muhammad Aliff Isyraff, beregu lelaki dimenangi Gan Chung Wong-Ivan Khian Syen Wei dan beregu campuran milik Elaine Ng Yee Mun-Lim Zhi Ren.
Saingan Terbuka Johor menyaksikan Neoh Yee Xiang (perseorangan lelaki), Ng Jia Jun-Lim Kar Leong (beregu lelaki) dan Kow Wui Keat-Yap Ming Hui (beregu campuran) muncul juara manakala Terbuka Pulau Pinang pula didominasi Chris Nahshon Esu (perseorangan lelaki), Low Xing Yu-Lui Gan Bing (beregu lelaki) serta Eu Jia Qi-Junior Oh Jia Pang (beregu campuran).
Bagi Terbuka Selangor, juara perseorangan lelaki disandang oleh Low Eu Cong, beregu lelaki dimenangi Helmie Zulhaidee-Muhammad Nur Aidil Adha dan beregu campuran dikuasai Yap Cheng Wen-Shahrul Shazwan.
Selain kejohanan utama, penganjuran Piala Remaja Haier bagi tahun kedua turut menarik penyertaan hampir 800 pemain muda yang berentap dalam pelbagai kategori perseorangan dan beregu.
Haier Malaysia akan meneruskan usaha memupuk bakat muda menerusi Program Pembangunan Haier Be the Next Champion yang menyasarkan penyertaan 10,000 pelajar daripada 20 sekolah menjelang akhir tahun ini, sekali gus meluaskan jangkauan keseluruhan kepada 20,000 pelajar.
-- BERNAMA