MARAN, 28 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Pahang akan meneliti penyelesaian jangka panjang bagi mengatasi masalah Sungai Pahang yang cetek di beberapa kawasan tertentu termasuk Kampung Pesagi, di sini.
Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata kerajaan negeri sedang mendapatkan laporan lengkap daripada pihak berkaitan berhubung keadaan sungai itu sebelum tindakan selanjutnya dapat diputuskan.
Beliau berkata laporan itu penting bagi membolehkan kerajaan negeri mengenal pasti kaedah paling sesuai, termasuk pelaksanaan langkah jangka pendek, sederhana dan jangka panjang bagi menangani masalah tersebut.
“Sekarang ini saya minta laporan daripada pihak daerah dan saya akan bawa kepada Mesyuarat Exco untuk kita kaji, teliti dan perhalusi bagi tindakan selanjutnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai masalah itu selepas menghadiri Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek Siap Penggantian Paip Daerah Maran di Loji Rawatan Air Chenor, di sini hari ini.
Wan Rosdy berkata kerajaan negeri mengambil serius masalah yang berlaku kerana ia menjejaskan ekonomi dan aktiviti penduduk berdekatan Sungai Pahang dan sebarang tindakan diambil perlu dibuat berdasarkan kajian lengkap bagi memastikan penyelesaian berkesan.
Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata pelaksanaan program penggantian paip bagi menangani masalah bekalan air dan pembangunan projek infrastruktur tenaga terus menjadi keutamaan Kerajaan Pahang dalam memperkukuh kemudahan asas serta merancakkan pembangunan negeri.
"Empat daerah telah mencatatkan kadar penyelesaian melebihi 90 peratus, manakala Maran dijangka menyusul dalam usaha kerajaan negeri menangani masalah bekalan air," katanya.
Beliau berkata projek infrastruktur Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kampung Awah, di sini pula yang melibatkan pembinaan Pencawang Masuk Utama (PMU) 500 kV diyakini dapat memberi manfaat kepada Pahang untuk menarik lebih ramai pelabur ke negeri itu.
Katanya, projek tersebut melibatkan peruntukan kira-kira RM350 juta dan dijangka siap pada 2030.
Wan Rosdy berkata rangkaian ini akan menghubungkan lokasi strategik di Pantai Timur, sekali gus membina sistem tenaga yang lebih kukuh, berdaya tahan dan bersedia menyokong keperluan tenaga masa hadapan.
Beliau berkata pembangunan infrastruktur dan pelaksanaan projek pelaburan secara berterusan penting dalam merancakkan ekonomi negeri selain mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
-- BERNAMA