Oleh Wan Muhammad Aslah Wan Razali
SERDANG, 28 Ogos (Bernama) -- Daripada hasil pertanian dan makanan hingga kepada barangan penjagaan kulit serta tekstil, Pavilion Antarabangsa di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 telah mengubah dewan pameran utama menjadi medan pertemuan bagi perniagaan yang berhasrat meneroka pasaran dan mencari rakan kongsi baharu.
Syarikat dari 14 negara termasuk Brazil, Kenya, Uzbekistan, Korea Selatan dan Jepun mempamerkan pelbagai produk di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).
Pavilion negara memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat dengan lebih dekat produk serta peluang perniagaan dari seluruh dunia, manakala syarikat antarabangsa pula dapat meneroka potensi untuk menembusi pasaran Malaysia.
Seorang pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Fairuz, seorang pekerja di sebuah syarikat pengedaran makanan dan minuman tempatan, menyifatkan pameran itu sebagai platform yang mengagumkan bagi perniagaan tempatan dan antarabangsa.
"Acara ini sangat hebat dan skalanya membuka peluang untuk perniagaan pertanian serta makanan dan minuman dari Malaysia dan luar negara berkembang maju.
Berjalan di sepanjang dewan utama dan melihat pavilion negara yang dipenuhi pameran dari pelbagai negara amat teruja bagi orang seperti saya. Ia memberi saya peluang untuk meneroka potensi usaha sama perniagaan dengan syarikat yang berhasrat menembusi pasaran Malaysia," katanya.
Selain itu, ketika pempamer antarabangsa meneroka peluang di Malaysia, pemain sektor pertanian tempatan turut memanfaatkan acara berkenaan bagi mempromosikan hasil keluaran Malaysia serta memperkukuh potensi eksport mereka.
Seorang wakil Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di pameran itu berkata kekayaan hasil pertanian Malaysia memberi peluang untuk meluaskan eksport, dengan durian menjadi antara produk utama yang dipromosikan.
"Memandangkan kita kaya dengan hasil pertanian, kita secara aktif mencari peluang untuk meningkatkan eksport. Salah satu tumpuan utama kami ialah durian," katanya kepada Bernama.
Satu lagi tumpuan utama ialah inisiatif “Malaysia’s Best”, yang bertujuan mengumpulkan hasil pertanian bersijil Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) di bawah satu jenama kebangsaan yang diiktiraf.
Beliau berkata myGAP merupakan sistem persijilan bagi amalan pertanian baik di peringkat ladang yang mampu memberi nilai tambah kepada hasil tuaian petani tempatan.
"Di situlah peranan “Malaysia’s Best”. Ini merupakan satu daripada perkara utama yang mahu kita capai," katanya.
“Malaysia’s Best” ialah pensijilan kualiti dan keselamatan makanan kebangsaan yang diperkenalkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi produk pertanian Malaysia yang memenuhi piawaian domestik dan antarabangsa yang diiktiraf, termasuk myGAP serta keperluan gred, pembungkusan dan pelabelan persekutuan.
Merangkumi kawasan pameran dalam dan luar bangunan seluas 320 ekar, MAHA 2026 menampilkan pelbagai produk, perkhidmatan, teknologi dan perniagaan pertanian.
Diadakan setiap dua tahun di MAEPS sejak 2006, edisi tahun ini menghimpunkan lebih 2,000 pempamer dengan sasaran empat juta pengunjung.
Acara itu juga menyasarkan untuk menjana potensi memorandum persefahaman (MoU) bernilai RM8 bilion dan nilai jualan sebanyak RM58 juta.
Acara dwitahunan yang berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 Sept itu dilancarkan pada Jumaat oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.
-- BERNAMA