Am 28/08/2026 10:57 PM

Lelaki Warga Emas Rentung Dalam Kebakaran Rumah

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Lelaki Warga Emas Rentung Dalam Kebakaran Rumah
Mohd Izwan Hashim. fb Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Terengganu

KUALA NERUS, 28 Ogos (Bernama) -- Seorang lelaki warga emas berusia 60 tahun ditemukan rentung selepas rumahnya di Lorong Padang Bola, Kampung Gong Lingai di sini terbakar petang tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Mohd Izwan Hashim berkata mangsa yang masih bujang dipercayai tinggal seorang diri dan menghidap strok, namun mampu berjalan.

"Kami menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4.56 petang sebelum jentera digerakkan pada 5.01 petang dan tiba di lokasi pada 5.11 petang. Kebakaran melibatkan sebuah rumah dengan kemusnahan 70 peratus. 

“Operasi pemadaman dimulakan pada 5.12 petang menggunakan satu saliran sepanjang 200 kaki (61 meter), satu breeching serta dua pancutan air daripada jentera. Mangsa ditemukan kira-kira 5.40 petang tadi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd Izwan berkata operasi pemadaman berjaya dikawal pada 6.26 petang, dengan sebanyak 28 anggota dan pegawai daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerus serta Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu terlibat dalam operasi berkenaan.

Beliau berkata punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

-- BERNAMA