Am 28/08/2026 11:41 PM

Kerajaan Pertahan UiTM Untuk Pembangunan Bumiputera - Zambry

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kerajaan Pertahan UiTM Untuk Pembangunan Bumiputera - Zambry
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan bergambar pada Majlis Titah Diraja Universiti Teknologi Mara (UiTM) 2026 di Dewan Konsert Seri Budiman, UiTM Shah Alam. Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

SHAH ALAM, 28 Ogos (Bernama) -- Kerajaan terus mempertahankan Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai institusi penting dalam pembangunan pendidikan, profesional dan sosioekonomi Bumiputera.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata mandat dan identiti yang menjadi asas penubuhan serta perkembangan UiTM sebelum ini akan terus dipelihara oleh kerajaan.

"Atas kesedaran terhadap amanah besar inilah, patik ingin menegaskan bahawa Kerajaan akan terus mempertahankan UiTM sebagai institusi penting dalam pembangunan pendidikan, profesional dan sosioekonomi Bumiputera.

"Mandat dan identiti yang menjadi asas penubuhan serta perkembangan UiTM akan terus dipelihara, tetapi mempertahankan UiTM tidak bermakna kita sekadar mempertahankan apa yang telah ada, sebaliknya kita mesti terus memperkukuh, memperkasakan dan memajukannya," katanya dalam sembah ucapan pada Majlis Titah Diraja UiTM 2026 di Dewan Konsert Seri Budiman di sini hari ini.

Berangkat sama pada majlis bertemakan ‘Kecemerlangan Institusi Pendidikan Teras Pembangunan Negara’ itu Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.

Zambry berkata antara langkah strategik yang telah dilaksanakan ialah penubuhan Jawatankuasa Penyelarasan Rasionalisasi UiTM (URCC) untuk meneliti aspek akademik, penyelidikan, inovasi, tadbir urus dan pembangunan bakat.

Beliau berkata jawatankuasa itu turut membabitkan aspek jaringan industri, pengantarabangsaan serta kesiapsiagaan menghadapi perubahan teknologi dan ekonomi masa hadapan di bawah kendalian Pengerusinya Tan Sri Idris Jusoh.

"Kita mahu UiTM terus berkembang sebagai 'Universiti Unggul Pemacu Bumiputera Profesional' yakni teguh mandatnya, tinggi kecemerlangannya dan luas sumbangannya kepada negara serta dunia.

"Seiring dengan sambutan Evolusi 7 Dekad UiTM 1956–2026 bertemakan 'Legasi Ilmu, Aspirasi Unggul', pencapaian tujuh dekad ini bukan sahaja perlu diraikan, ia mesti dilihat sebagai satu amanah untuk membina tujuh dekad yang seterusnya," katanya.

Dalam pada itu, Zambry berkata persoalan utama ketika ini bukan sekadar mengenai sejauh mana UiTM telah melangkah, sebaliknya hala tuju seterusnya institusi keramat berkenaan.

-- BERNAMA