SHAH ALAM, 28 Ogos (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu program akademik Universiti Teknologi MARA (UiTM) sentiasa relevan dengan perubahan ekonomi dunia bagi memastikan graduan institusi itu mampu bersaing dalam pasaran pekerjaan yang semakin mencabar.
Baginda bertitah perkara itu khususnya melibatkan bidang teknologi digital, kecerdasan buatan, sains, kejuruteraan, perubatan, kewangan, perakaunan, perundangan, industri kreatif dan bidang-bidang baharu yang bakal menentukan masa depan ekonomi Malaysia.
“Cabaran yang dihadapi oleh generasi Melayu dan Bumiputera sekarang sudah berubah... jika dahulu perjuangannya adalah untuk mendapatkan tempat di universiti, hari ini perjuangannya adalah untuk memastikan graduan kita mampu bersaing dan menjadi yang terbaik dalam dunia yang semakin mencabar.
“UiTM tidak boleh hanya berbangga kerana menjadi universiti yang besar dan hebat... Beta mahu UiTM terus mempertahankan mandat asalnya untuk memperkasa Melayu dan Bumiputera.
“… tetapi mempertahankan mandat tersebut tidak bermaksud kita harus menutup mata terhadap kelemahan sendiri atau berasa cukup dengan apa yang telah dicapai,” titah Sultan Sharafuddin pada Majlis Titah Diraja UiTM 2026 bertemakan “Kecemerlangan Institusi Pendidikan Teras Pembangunan Negara” di Dewan Konsert Seri Budiman di sini hari ini.
Turut berangkat ke majlis itu Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.
Majlis anjuran Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Pejabat Pemerkasaan Adiwangsa itu turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Sultan Sharafuddin bertitah baginda berasa amat bangga melihat pencapaian UiTM yang kini berdiri sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang membanggakan bangsa dan negara.
“Institusi keramat ini telah membuktikan keupayaannya memberikan khidmat bakti apabila para lulusannya kini tidak lagi sekadar menjadi penonton sejarah sebaliknya menjadi penggerak utama, tokoh korporat dan pemimpin ternama di peringkat nasional mahupun persada global.
“Keupayaan UiTM dalam melahirkan golongan profesional Bumiputera bukan lagi satu retorik tetapi satu realiti yang dibuktikan dengan angka yang jelas,” titah baginda.
Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin mahu UiTM melahirkan lebih ramai pencipta pekerjaan dan pemilik ekonomi, bukan sekadar pencari pekerjaan.
Baginda bertitah jika dahulu UiTM memainkan peranan besar dalam melahirkan kelas profesional Bumiputera, institusi itu pada masa hadapan perlu membantu melahirkan lebih ramai usahawan, inovator, saintis, pemimpin industri dan pemilik perusahaan yang mampu bersaing di peringkat serantau serta antarabangsa.
“Hubungan UiTM dengan industri juga hendaklah diperkukuh… jangan sampai kita melahirkan graduan dengan segulung ijazah tetapi mereka tidak mempunyai kemahiran, keyakinan, penguasaan bahasa, daya fikir dan kebolehan yang diperlukan oleh industri,” titah Sultan Sharafuddin.
Sehubungan itu, baginda mencabar setiap pelajar dan graduan UiTM agar sekurang-kurangnya menguasai dua bahasa asing bagi meningkatkan daya saing mereka dalam pasaran pekerjaan.
“Persaingan graduan dalam pasaran pekerjaan kini amatlah sengit, dan dengan menguasai lebih banyak bahasa, ia mampu membezakan kualiti yang menjadi ukuran utama kejayaan UiTM, bukan kuantiti graduan semata-mata,” titah baginda.
Menyentuh mengenai kedudukan UiTM, Sultan Sharafuddin bertitah institusi itu bukanlah sebuah institusi yang wujud tanpa asas perundangan sebaliknya mempunyai kedudukan yang berkait rapat dengan kerangka Perlembagaan Persekutuan.
Baginda bertitah Akta Universiti Teknologi MARA 1976 [Akta 173], khususnya Seksyen 1A, memperuntukkan penubuhan UiTM selaras dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong dalam memelihara kedudukan istimewa orang Melayu serta anak negeri Sabah dan Sarawak, di samping kepentingan sah kaum-kaum lain.
“Perkara 153(8A) juga membenarkan perizaban tempat dalam institusi pengajian tinggi bagi orang Melayu serta anak negeri Sabah dan Sarawak.
“Oleh itu, peranan UiTM dalam memperkasa pendidikan Melayu dan Bumiputera mempunyai asas perlembagaan yang jelas, bukan sekadar dasar pentadbiran biasa,” titah baginda.
Sehubungan itu, Sultan Sharafuddin bertitah sebarang cadangan yang mengubah asas, identiti atau matlamat UiTM tidak boleh dianggap sebagai keputusan pentadbiran biasa sebaliknya perlu diteliti dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan secara menyeluruh.
“Pada masa sama, mempertahankan UiTM tidak bermaksud menafikan hak pendidikan kaum lain. Malaysia mempunyai pelbagai institusi pengajian tinggi untuk semua rakyat.
“UiTM pula lahir daripada keperluan sejarah untuk merapatkan jurang pendidikan dan sosioekonomi Melayu dan Bumiputera... selagi jurang ini masih wujud, maka amanah penubuhannya belum selesai,” titah baginda.
-- BERNAMA