BUKIT MERTAJAM, 28 Ogos (Bernama) -- Umat Islam perlu menjadi contoh terbaik kepada seluruh masyarakat menerusi akhlak, integriti, ketekunan bekerja serta sikap menolak rasuah dan penyelewengan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata penghormatan masyarakat terhadap umat Islam perlu lahir daripada nilai baik yang ditunjukkan dalam kehidupan seharian termasuk bekerja dengan rajin, menepati janji dan tidak menyalahgunakan amanah.
“Kalau orang lihat kita bekerja rajin, berakhlak baik, tidak menipu dan tidak sakau duit, orang akan hormat kita. Kita perlu jadi contoh yang baik,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Maulid Akbar bersempena dengan Hari Kebangsaan di Masjid Tengah di sini hari ini.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.
Anwar berkata Islam membawa mesej rahmat dan kebaikan kepada semua, justeru, umatnya perlu menjaga hubungan serta kebajikan seluruh masyarakat tanpa mengira kaum atau agama.
Beliau berkata umat Islam juga perlu menunjukkan keseimbangan dalam kehidupan dengan mengutamakan ilmu, keimanan, akhlak, pembangunan rohani dan jasmani serta kemajuan material.
Perdana Menteri berkata pembangunan Malaysia MADANI tidak boleh hanya bergantung kepada dasar, ekonomi atau kemajuan teknologi semata-mata tanpa disokong asas akidah, akhlak dan sahsiah yang kukuh.
“Menggapai di langit mesti mengakar di bumi. Mengakar ke bumi itu akidah, akhlak, sahsiah, supaya nilai kita dan akhlak kita terjaga,” katanya.
Anwar turut menekankan kepentingan menimba ilmu daripada ulama serta memastikan hubungan antara ulama dan pemimpin terus diperkukuh melalui nasihat serta pandangan membina.
Beliau berkata Malaysia MADANI perlu terus memacu ekonomi dan menguasai teknologi moden, namun nilai serta akhlak mesti kekal menjadi tonggak kepada pembangunan negara.
-- BERNAMA