Am 28/08/2026 09:42 PM

Gempa Bumi: Semua Unit Penjanaan Temenggor, Bersia Dalam Keadaan Baik - Exco

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Gempa Bumi: Semua Unit Penjanaan Temenggor, Bersia Dalam Keadaan Baik - Exco
Exco Infrastruktur, Tenaga Air dan Pengangkutan Awam Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin

IPOH, 28 Ogos (Bernama) -- Semua unit penjanaan elektrik di Stesen-Stesen Janaelektrik (SSJ) Sungai Perak di Temenggor dan Bersia, berada dalam keadaan baik serta beroperasi seperti biasa walaupun turut terkesan akibat gegaran awal pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata pihak pengurusan SSJ Sungai Perak telah mengarahkan pasukan keselamatan dan bahagian sivil stesen menjalankan pemeriksaan di kawasan empangan dan stesen.

Beliau berkata pemeriksaan itu dilakukan bagi memastikan keadaan kedua-dua empangan serta stesen berkenaan tidak terjejas akibat gegaran.

“Untuk makluman awal, semua unit penjanaan kami di Temenggor dan Bersia berada dalam keadaan baik, tidak terkesan oleh gegaran yang berlaku dan beroperasi seperti biasa,” katanya dalam kenyataan.

Gempa bumi lemah bermagnitud 3.4 yang berlaku di Temenggor, Gerik tengah malam tadi dirasai penduduk di beberapa kawasan sekitar daerah itu termasuk Kampung Bagan Baru, Kampung Jong dan Kampung Jagor.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan gempa bumi itu berlaku 12.06 tengah malam pada koordinat 5.5 darjah Utara dan 101.3 darjah Timur, dengan pusat gempa dikesan 9 kilometer (km) di timur laut Hulu Perak dengan kedalaman 10 km.

-- BERNAMA