JOHOR BAHRU, 28 Ogos (Bernama) -- Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dijangka beraksi bersama pasukan Diraja Johor pada Kejohanan Polo Johor Super Crown (JSCPT) 2026 di Padang Polo Diraja Istana Pasir Pelangi yang ikonik, di sini bermula 1 hingga 6 Sept ini.
Kejohanan berstatus 22-gol itu merupakan pertandingan polo dengan handikap tertinggi pernah dianjurkan di Malaysia.
Penganjuran kejohanan ini juga digerakkan menerusi visi bersama Tunku Mahkota Ismail dengan ikon polo dunia, Polito Pieres, bagi meletakkan Johor sebagai antara destinasi utama dalam litar sukan polo di peringkat antarabangsa.
Wakil Kelab Polo Diraja Johor, David Keyte, berkata persiapan bagi kejohanan itu berjalan lancar dengan kira-kira 190 ekor kuda bertaraf tinggi disediakan untuk pertandingan berkenaan.
"Kesemua kuda disediakan oleh Kelab Polo Diraja Johor dan sebahagian pemain sudah tiba serta mula menjalani latihan bersama kuda-kuda tersebut," katanya pada sidang media di Istana Pasir Pelangi, di sini hari ini.
Kejohanan yang berlangsung dari 1 hingga 6 Sept itu menghimpunkan lima pasukan bertaraf dunia yang dibarisi pemain elit antarabangsa, iaitu Royal Johor, Temasek, Korea Polo, JCORP dan Digital Bridge.
"Pasukan-pasukan ini terdiri daripada pemain pelbagai negara, termasuk Argentina, Afrika Selatan, Amerika Syarikat, New Zealand, India dan Korea Selatan," katanya.
Beliau berkata kejohanan itu dijangka mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi serta aksi polo bertaraf dunia dalam setiap perlawanan.
Keyte turut menegaskan bahawa usaha berterusan oleh Sultan Ibrahim, Yang di-Pertuan Agong, dan Tunku Mahkota Ismail dalam menaik taraf padang polo serta infrastruktur kandang kuda telah meningkatkan kemudahan di venue berkenaan ke tahap bertaraf dunia, sekali gus membolehkannya menganjurkan pertandingan polo berprestij.
Kejohanan berteraskan tema "Legacy In Motion" itu akan disiarkan secara langsung ke seluruh dunia menerusi PoloLine.TV, sekali gus membawa aksi polo Diraja Johor kepada penonton antarabangsa.
Sementara itu, pemain pasukan Diraja Johor, Pieres, berkata beliau telah menyelesaikan persiapan dan berharap keadaan cuaca baik sepanjang kejohanan berlangsung.
"Hujan merupakan antara cabaran utama, namun perkara itu di luar kawalan kami. Kami berharap ramalan cuaca semasa kekal, tetapi seperti yang diketahui, cuaca sukar diramal. Jadi, kami perlu menyesuaikan diri," katanya.
Bagaimanapun, Pieres berkata pengalamannya bermain di padang tempatan serta pengetahuan mengenai kuda yang digunakan dalam kejohanan itu akan menjadi kelebihan tambahan buat pasukannya.
Sementara itu, pemain Temasek, Nachi Du Plessis, menyifatkan perlawanan yang bakal berlangsung sebagai sesuatu yang mengujakan memandangkan kejohanan itu menghimpunkan pemain antarabangsa berkaliber tinggi.
Beliau berkata antara elemen paling penting dalam sukan polo ialah kuda, sambil menambah bahawa Tunku Mahkota Ismail telah menyediakan kuda berkualiti tinggi yang secara tidak langsung meningkatkan standard dan mutu keseluruhan kejohanan.
JSCPT merupakan cetusan idea Tunku Mahkota Ismail, yang juga pemain polo berhandikap 10 gol dan telah memenangi lebih 50 kejuaraan di seluruh dunia, termasuk dua kejuaraan Terbuka Metro di Argentina.
-- BERNAMA