Ekonomi 28/08/2026 08:54 PM

Petronas Catat Prestasi Separuh Tahun Berdaya Tahan, Kekal Komited Menjamin Keselamatan Tenaga

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Petronas Catat Prestasi Separuh Tahun Berdaya Tahan, Kekal Komited Menjamin Keselamatan Tenaga

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mencatat keuntungan bersih RM27.2 bilion bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, meningkat RM1 bilion atau empat peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, mencerminkan pelaksanaan berdisiplin, kebolehpercayaan operasi dan kecemerlangan komersial dalam persekitaran makroekonomi yang mencabar.

Petronas memaklumkan peningkatan keuntungan selepas cukai PAT itu selaras dengan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang lebih tinggi sebanyak RM56.8 bilion.

Hasil meningkat RM19.8 bilion atau 15 peratus kepada RM152.4 bilion daripada RM132.6 bilion pada tempoh sama tahun lepas, terutamanya disokong pengeluaran domestik yang lebih tinggi serta peningkatan jumlah jualan gas asli cecair (LNG) dan gas diproses, selain harga purata terealisasi yang lebih baik bagi produk utama, namun sebahagiannya diimbangi kesan pertukaran asing yang tidak menggalakkan.

“Peningkatan PAT itu sebahagiannya diimbangi pengiktirafan bahagian kerugian terkumpul daripada usaha sama Pengerang Refining Company Sdn Bhd dan Pengerang Petrochemical Company Sdn Bhd (secara bersama dikenali sebagai PRefChem) susulan suntikan modal tambahan, selaras dengan piawaian perakaunan yang berkenaan,” menurutnya dalam kenyataan di sini.

Petronas memaklumkan sebelum ini, kerugian berkenaan hanya direkodkan pada peringkat usaha sama. Suntikan modal itu merupakan sebahagian daripada urus niaga kumpulan untuk mengambil alih keseluruhan pemilikan PRefChem pada tahun kewangan ini.

Syarikat minyak nasional itu memaklumkan ia kekal memberi tumpuan kepada usaha menjamin keselamatan tenaga serta meneruskan langkah berterusan dan tepat pada masanya bagi memastikan kesinambungan bekalan bahan api negara berikutan ketidaktentuan berpanjangan susulan konflik di Asia Barat.

“Kumpulan akan terus memacu penciptaan nilai mampan bagi pertumbuhan masa depan, termasuk pelaburan dalam aktiviti penerokaan dan pembangunan di Malaysia bagi memperkukuh kemampanan sumber jangka panjang serta daya tahan tenaga masa depan, selain memperkukuh kehadiran antarabangsa untuk mempelbagaikan laluan bekalan,” menurutnya.

Aliran tunai daripada aktiviti operasi (CFFO) berjumlah RM47.5 bilion, turun sedikit RM600 juta berbanding tempoh sama tahun lepas berikutan aliran keluar modal kerja, menurut Petronas.

Perbelanjaan modal (capex) berjumlah RM41.4 bilion, terutamanya didorong suntikan modal tambahan oleh segmen hiliran dalam usaha sama PRefChem seperti dinyatakan sebelum ini, selain pelaburan dalam aktiviti penerokaan dan pembangunan huluan.

“Jumlah aset meningkat kepada RM794.3 bilion, terutamanya disebabkan peningkatan pelaburan dalam usaha sama, selain penghutang dan inventori yang lebih tinggi. Ini sebahagiannya diimbangi oleh penurunan tunai dan setara tunai serta pengurangan aset yang dipegang untuk dijual.

“Ekuiti pemegang saham meningkat RM800 juta kepada RM449.1 bilion, terutamanya disebabkan keuntungan yang direkodkan bagi tempoh tersebut, sebahagiannya diimbangi dividen RM20 bilion yang diisytiharkan kepada pemegang saham,” menurutnya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Tan Sri Tengku Muhammad Taufik berkata keutamaan Petronas pada separuh pertama 2026 adalah untuk menjamin keselamatan tenaga “bagi mereka yang kami berkhidmat”.

“Bagi melaksanakan tanggungjawab ini, kami membuat pelaburan strategik untuk memperkukuh portfolio demi daya tahan jangka panjang. Dalam menangani kesan krisis tenaga global, Petronas memanfaatkan kekuatan portfolio bersepadunya dan mempergiat usaha di seluruh rantaian nilai bagi memastikan bekalan tenaga tanpa gangguan untuk Malaysia sebagai syarikat minyak nasional,” katanya.

Beliau berkata walaupun berdepan cabaran semasa, syarikat minyak nasional itu terus mengekalkan disiplin kewangan dan operasi, di samping memperkukuh kedudukan huluan, memperluas hab bekalan LNG serta meningkatkan penawaran tenaga baharu.

Menurutnya, usaha berkenaan menyumbang kepada prestasi kewangan yang berdaya tahan dalam tempoh dikaji, walaupun berdepan ketidaktentuan dan turun naik pasaran yang berpanjangan.

“Komitmen kumpulan kekal teguh ketika kami berusaha menyediakan tenaga yang boleh dipercayai dan mengejar pertumbuhan mampan, di samping memperkukuh kedudukan serta mencipta nilai jangka panjang untuk pihak berkepentingan,” katanya.

Mengenai prospek, Petronas memaklumkan landskap tenaga global kekal rapuh dan tidak menentu berikutan cabaran geopolitik yang meningkat serta konflik berpanjangan di Asia Barat.

“Keadaan ini terus mempengaruhi harga, aliran perdagangan dan struktur kos, sekali gus mewujudkan persekitaran operasi yang mencabar serta tekanan kos di seluruh rantaian nilai,” menurutnya.

Walaupun berdepan persekitaran mencabar, Petronas terus menunjukkan daya tahan menerusi pengurusan kewangan berhemat dan komitmen teguh terhadap agenda transformasinya.

Menurutnya, langkah itu akan memastikan kumpulan berada pada kedudukan yang baik untuk mengharungi turun naik pasaran serta mencipta nilai jangka panjang.

Dalam usaha memperkukuh keselamatan tenaga serantau dan global, Petronas turut mencapai beberapa pencapaian penting merentasi portfolio bersepadunya.

“Ini termasuk penubuhan usaha sama Searah dengan ENI, penemuan sumber hidrokarbon di Malaysia, Suriname dan Indonesia, serta jangkaan penyempurnaan pengambilalihan keseluruhan pemilikan PRefChem pada separuh kedua tahun ini.

“Kumpulan turut memperluas jejak bekalan menerusi kepelbagaian pengaturan bekalan LNG jangka panjang melalui perkongsian strategik, sekali gus menyokong daya tahan bekalan dan pertumbuhan mampan,” menurutnya.

Petronas memaklumkan ia kekal beriltizam untuk merebut peluang pertumbuhan dan mencipta nilai mampan dengan memanfaatkan portfolio bersepadunya merentasi perniagaan.

Kumpulan itu terus berpandukan agenda peralihan tenaga bagi memperkukuh komitmennya dalam memenuhi keperluan tenaga pelanggan.

-- BERNAMA