Dunia 28/08/2026 07:32 PM

Perjanjian Pertahanan Makkah Hantar Mesej Perpaduan, Keamanan Di Seluruh Rantau - PM Pakistan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Perjanjian Pertahanan Makkah Hantar Mesej Perpaduan, Keamanan Di Seluruh Rantau - PM Pakistan
Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif

ISTANBUL, 28 Ogos (Bernama-Anadolu) -- Perjanjian pertahanan bersama Makkah yang ditandatangani oleh Türkiye, Arab Saudi dan Pakistan awal bulan ini "telah menghantar mesej perpaduan dan keamanan ke seluruh rantau ini," kata Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif pada Jumaat.

Sharif membuat kenyataan itu semasa pertemuan dengan Menteri Alam Sekitar, Air dan Pertanian Arab Saudi Abdulrahman bin Abdulmohsen Al-Fadley, menurut kenyataan daripada Pejabat Perdana Menteri Pakistan.

Türkiye, Arab Saudi dan Pakistan menandatangani Perjanjian Pertahanan Bersama Makkah pada sidang kemuncak tiga hala di Makkah pada 7 Ogos, dengan ikrar untuk memperkukuh keselamatan kolektif, memantapkan kerjasama pertahanan serta mempromosikan keamanan dan kestabilan di rantau berkenaan dan wilayah sekitarnya.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Presiden Türkiye Recep Tayyip Erdogan, Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman dan Sharif semasa sidang kemuncak di Istana Al-Safa.

Sharif berkata perjanjian pertahanan bersama itu "menjadikan hubungan ketiga-tiga negara semakin rapat selain menyampaikan mesej perpaduan dan keamanan ke seluruh rantau ini."

Bangladesh memaklumkan bahawa negara itu akan mempertimbangkan untuk menyertai pakatan berkenaan secara "positif" sekiranya dijemput oleh tiga negara pengasas itu.

"Isu menyertai pakatan ini atau tidak masih belum timbul kerana ia tertakluk kepada hasrat pihak-pihak yang terlibat dalam perjanjian itu. Jika mereka menjemput Bangladesh untuk menyertainya, kami pasti akan mempertimbangkannya secara positif," kata Menteri Luar Khalilur Rahman kepada Parlimen pada Khamis.

Mengulas kenyataan dari Dhaka itu, Jurucakap Kementerian Luar Pakistan Tahir Andrabi mengulangi pada Khamis bahawa perjanjian berkenaan "merupakan kerangka kerja pertahanan yang bertujuan untuk memelihara keamanan dan mempromosikan kestabilan rantau."

"Sebagai seni bina keselamatan yang sedang berkembang, (perjanjian ini) kekal terbuka kepada negara-negara yang berkongsi komitmen terhadap kewajipan kolektif dan kepentingan keselamatan bersama," kata Andrabi kepada pemberita di Islamabad.

"Sebarang permohonan rasmi akan dipertimbangkan menerusi perbincangan dengan rakan kami di Riyadh dan Ankara. Bagaimanapun, pelaksanaan (perjanjian ini) masih di peringkat awal," katanya.

-- BERNAMA-ANADOLU