Dunia 28/08/2026 07:29 PM

Operasi SAR Di Pintu Sempadan Gyirong Diteruskan Susulan Tanah Runtuh

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Operasi SAR Di Pintu Sempadan Gyirong Diteruskan Susulan Tanah Runtuh
Foto yang dikeluarkan oleh Agensi Berita Xinhua ini menunjukkan kawasan yang dilanda banjir kilat berhampiran Pelabuhan Gyirong di Wilayah Autonomi Tibet, barat daya China, pada Rabu, 26 Ogos 2026. (Xinhua via AP)

XIZANG, 28 Ogos (Bernama-CMG) -- Pihak berkuasa China mengaktifkan tindak balas kecemasan tahap dua di sekitar pintu sempadan Gyirong yang bersempadan dengan Nepal susulan kejadian tanah runtuh pada Rabu.

Pasukan tentera, Pasukan Gerakan Am (PGA), jabatan pemeriksaan sempadan dan pasukan bomba telah mengerahkan anggota masing-masing ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Jurucakap Kementerian Luar China (MFA) Lin Jian berkata demikian pada sidang media Khamis.

Tanah runtuh yang berlaku di Nepal pada Rabu turut mengakibatkan kematian, kecederaan dan kehilangan ramai individu di pintu sempadan Gyirong, bandar Xigaze di wilayah Xizang, China.

Berdasarkan maklumat pihak berkuasa tempatan, seramai 260 warga asing dilaporkan hilang di kawasan bencana.

China memaklumkan penduduk tempatan dan warga asing diberikan layanan sama rata dalam operasi SAR, selain terus berhubung dengan kedutaan negara berkaitan serta berkongsi perkembangan terkini mengenai situasi berkenaan.

Pada masa sama, China turut mengekalkan komunikasi rapat dengan pihak Nepal dan menyelaras kerjasama bagi memastikan operasi SAR berjalan lancar, selain bersedia menyalurkan bantuan kecemasan mengikut keperluan Nepal.

-- BERNAMA-CMG