Am 28/08/2026 05:58 PM

Kementerian Perpaduan Negara Anjur Sambutan Anak Merdeka, Rai Individu Lahir 31 Ogos

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kementerian Perpaduan Negara Anjur Sambutan Anak Merdeka, Rai Individu Lahir 31 Ogos
Kredit: FB Aaron Ago Dagang

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara menerusi Arkib Negara Malaysia akan menganjurkan Sambutan Anak Merdeka Malaysia bagi meraikan individu yang lahir pada 31 Ogos sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata program itu dijadualkan berlangsung pada 31 Ogos ini bermula 10 pagi di Memorial Tun Hussein Onn di sini. 

Beliau berkata program itu juga bagi menyemarakkan semangat patriotisme dan kecintaan terhadap negara, selain menghayati makna kemerdekaan serta menghargai perjuangan generasi terdahulu dalam membina Malaysia yang aman, makmur dan berdaulat.

“Program ini juga menjadi wadah untuk memperkukuh rasa kebersamaan, identiti nasional dan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat, selaras dengan usaha membina sebuah negara bangsa yang kukuh berteraskan nilai saling menghormati dan rasa memiliki terhadap Malaysia,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini. 

Sehubungan dengan itu, orang ramai yang lahir pada tarikh keramat 31 Ogos dijemput hadir dan menyertai sambutan berkenaan bagi meraikan Hari Kebangsaan bersama-sama.

-- BERNAMA