Oleh Wan Muhammad Aslah Wan Razali
SERDANG, 28 Ogos (Bernama) – Dari hutan hujan Amazon ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Serdang, Brazil memperkenalkan acai kepada pengguna Malaysia.
Acai ialah sejenis beri yang kaya nutrien dan biasanya dihidangkan sebagai sajian sejuk beku menyerupai serbat selain dipromosikan sebagai makanan berkhasiat tinggi (superfood) premium.
Pengarah Urusan Greengate Paola Murphy, seorang ahli agronomi Brazil yang berpangkalan di London, mewakili pengeluar Brazil, NutriBerry, di pameran tersebut susulan syarikat itu berhasrat untuk menembusi pasaran Malaysia.
Matlamat segera syarikat itu ialah mencari pengedar tempatan yang memiliki kemudahan rantaian sejuk yang diperlukan untuk mengendalikan produk acai sejuk beku keluarannya.
"Ini kali pertama kami berada di sini. Kami sedang mencari pengedar, dan bagi produk ini, pengedar tersebut mestilah mempunyai kemudahan rantaian sejuk beku," katanya kepada Bernama.
Murphy berkaya produk NutriBerry mengandungi 70 peratus acai, berbanding antara 30 hingga 40 peratus dalam kebanyakan produk serupa yang terdapat di pasaran.
Acai ialah nama buah beri tersebut. Ia berasal dari Amazon dan boleh dibekukan serta dihidangkan seperti serbat.
"Ia lazat dan membekalkan banyak tenaga. Orang ramai menikmatinya sebagai superfood," katanya.
Walaupun kekangan logistik menghalang Murphy daripada membawa sampel sejuk beku ke pameran itu, paparan di reruai tersebut menunjukkan kepada pengunjung bagaimana buah beri dari Amazon itu disediakan dan dihidangkan.
Produk yang mendapat pengiktirafan halal dan kosher itu boleh dijual dalam bekas sedia ada di pasar raya atau dibekalkan dalam bekas lebih besar untuk kafe, selain boleh dikisar sehingga menghasilkan tekstur yang lebih berkrim dan dihidangkan bersama buah-buahan seperti pisang dan strawberi.
"Ini ialah produk premium dengan kepekatan acai yang tinggi," ujarnya.
Selain nilai pemakanannya, Murphy berkata acai membantu masyarakat Amazon menjana pendapatan kerana ia tumbuh secara semula jadi di dalam hutan dan boleh dituai tanpa perlu membersihkan kawasan hutan.
“Membelinya bermaksud anda turut membantu komuniti hutan kerana ia tumbuh secara semula jadi di sana," katanya, sambil menambah para pengutip perlu memanjat pokok acai yang tinggi (16 hingga 25 meter) untuk mendapatkan buahnya.
(Pokok acai ialah pokok palma yang tumbuh menegak dan langsing menyerupai pokok kelapa)
Selain produk acai NutriBerry, Greengate mewakili syarikat-syarikat Brazil yang menawarkan produk pertanian khusus, termasuk jagung yang tidak diubah suai secara genetik, gula organik dan konvensional, bijirin makanan haiwan serta koko dari Amazon.
Brazil merupakan antara 14 negara yang menyertai pavilion antarabangsa di MAHA 2026.
Pameran dwitahunan yang diadakan di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) sejak 2006 itu berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 Sept.
Menampilkan lebih 2,000 pempamer, MAHA kali ini menyasarkan kehadiran empat juta pengunjung serta nilai memorandum persefahaman sebanyak RM8 bilion dan jualan berjumlah RM58 juta.
-- BERNAMA