KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Malaysia mencatat RM218.5 bilion pelaburan diluluskan pada separuh pertama 2026, meningkat 11.7 peratus berbanding RM195.5 bilion dalam tempoh sama tahun lepas, menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Pelaburan itu melibatkan 2,746 projek dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan utama serta dijangka mewujudkan 99,030 peluang pekerjaan, sekali gus menyaksikan peningkatan 8.4 peratus tahun ke tahun.
MIDA dalam satu kenyataan hari ini berkata pelaburan yang diluluskan bagi tempoh tersebut menyumbang 50.7 peratus daripada RM431.1 bilion pelaburan diluluskan sepanjang 2025.
"Prestasi itu memberangsangkan dalam persekitaran global yang semakin mencabar, dengan Tinjauan Ekonomi Dunia Julai 2026 oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan pertumbuhan dunia sebanyak tiga peratus pada 2026, manakala ekonomi Malaysia dijangka berkembang 4.7 peratus, mengatasi purata global dan serantau," katanya.
Lembaga itu berkata pelaburan asing (FI) menyumbang RM126.9 bilion atau 58.1 peratus daripada jumlah pelaburan diluluskan, meningkat 18.5 peratus tahun ke tahun, manakala pelaburan domestik (DI) berjumlah RM91.6 bilion atau 41.9 peratus, meningkat 3.5 peratus.
"Amerika Syarikat merupakan sumber FI terbesar dengan RM33.1 bilion, diikuti Singapura (RM25.9 bilion), Jepun (RM22.3 bilion), China (RM16.5 bilion) dan Kepulauan Cayman (RM4.1 bilion), yang secara keseluruhannya menyumbang lebih 80 peratus FI diluluskan," menurutnya.
Selangor merekodkan jumlah pelaburan diluluskan tertinggi sebanyak RM70 bilion menerusi 835 projek, didorong pelaburan digital termasuk kecerdasan buatan (AI), analitik data raya, keselamatan siber, teknologi kewangan, pengkomputeran awan dan Internet Pelbagai Benda (IoT).
Johor menyusul dengan RM59.4 bilion, disokong Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Sistem Transit Rapid (RTS) Link, manakala Kuala Lumpur merekodkan RM26.6 bilion, merangkumi pembangunan kediaman dan pangsapuri berperkhidmatan.
Sementara itu, Pulau Pinang mencatat RM20.2 bilion, diterajui sektor pembuatan termaju dan semikonduktor, manakala Sarawak RM10.8 bilion, terutama projek penerokaan minyak dan gas luar pesisir, katanya.
MIDA berkata sektor perkhidmatan menarik pelaburan diluluskan terbesar sebanyak RM149.6 bilion, meningkat 21 peratus tahun ke tahun, melibatkan 1,750 projek yang dijangka mewujudkan 34,475 pekerjaan. FI dalam sektor itu meningkat 66.7 peratus kepada RM86.9 bilion, manakala DI berjumlah RM62.7 bilion.
Subsektor maklumat dan komunikasi menerajui pertumbuhan dengan pelaburan diluluskan meningkat 68.2 peratus kepada RM103.3 bilion, manakala projek pusat data dan pengkomputeran awan menyumbang RM95.8 bilion atau hampir 44 peratus daripada jumlah pelaburan diluluskan, didorong permintaan serantau terhadap keupayaan pengkomputeran AI, kata MIDA.
Sektor pembuatan pula menyaksikan lima industri terbesar menyumbang 76.9 peratus pelaburan diluluskan, dengan industri mesin dan peralatan serta pembuatan makanan masing-masing meningkat 44.8 peratus dan 40.9 peratus.
Menurut MIDA sebanyak 302 projek pembuatan merancang mengeksport sekurang-kurangnya 80 peratus pengeluaran mereka, meningkat 57.3 peratus tahun ke tahun.
Industri elektrik dan elektronik, mesin dan peralatan, produk logam yang direka, produk plastik, peralatan pengangkutan serta pembuatan makanan menyumbang 70.9 peratus projek berorientasikan eksport itu, katanya.
Pengerusi MIDA Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata prestasi berkenaan didorong sektor perkhidmatan dan pembuatan, selain keyakinan pelabur yang diperkukuh pembaharuan struktur.
Beliau berkata Malaysia menduduki tempat ke-15 daripada 70 ekonomi dalam Ranking Daya Saing Dunia 2026 IMD, pencapaian terbaik negara dalam tempoh lebih sedekad.
“Berpandukan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, MIDA akan terus mengutamakan dan melaksanakan pelaburan yang melibatkan pemindahan teknologi, memperkukuh penyertaan vendor tempatan dan mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat Malaysia,” katanya.
Sementara itu, MIDA berkata sehingga 10 Ogos 2026, pihaknya sedang menilai 227 cadangan bernilai RM72.1 bilion, manakala RM58.4 bilion lagi dalam bentuk potensi pelaburan bernilai tinggi masih dalam perbincangan.
Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata usaha dalam meraih komitmen pelaburan hanya separuh daripada tugas, manakala usaha memastikan komitmen itu diterjemahkan kepada operasi dan pekerjaan merupakan aspek penting pemudahcaraan MIDA.
“Melalui Pusat Pemudahcaraan Invest Malaysia serta penyelarasan rapat antara kementerian dan agensi, kami membantu pelabur mengatasi halangan kawal selia dan pelaksanaan dengan pantas, seperti yang dicerminkan oleh 86.3 peratus projek pembuatan yang diluluskan sejak 2021 kini telah memasuki fasa pelaksanaan.
"Penglibatan kami tidak berakhir selepas kelulusan kerana kami terus membimbing pelaksanaan projek dan, menerusi #InvestLokal, memperkukuh penyertaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta vendor tempatan, supaya setiap ringgit pelaburan yang komited dapat diterjemahkan kepada kapasiti sebenar dan pekerjaan berkemahiran untuk rakyat Malaysia,” katanya.
-- BERNAMA