SHAH ALAM, 24 Ogos (Bernama) -- Beregu campuran Melaka, Aaron Tai-Noraqilah Maisarah Ramdan berjaya mempertahankan pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) buat kali kedua berturut-turut pada temasya Selangor 2026 di sini, hari ini.
Beraksi di Setia City Convention Centre di Setia Alam, Aaron-Noraqilah dipaksa mengharungi pertarungan sengit tiga set sebelum menewaskan pasangan Kelantan, Kang Khai Xing-Chan Wen Tse 21-18, 21-23, 21-8 di final.
Aaron, 19, berkata kemenangan itu amat bermakna buat dirinya kerana ia merupakan penampilan terakhirnya di SUKMA.
“Saya rasa gembira sebab menang pingat emas untuk Melaka, negeri kami,” katanya selepas perlawanan.
Sementara itu, Noraqilah turut melahirkan rasa gembira dengan pencapaian itu, sambil berkata mereka cuba untuk tidak meletakkan terlalu banyak tekanan terhadap diri sendiri ketika final.
Pemain berusia 19 tahun itu secara keseluruhan berpuas hati dengan prestasi mereka hari ini, namun berdepan kesukaran pada set kedua berpunca daripada tiupan angin kencang yang mengganggu rentak permainan.
Sementara itu, pasangan Pulau Pinang, Tan Zhi Yang-Nicole Tan Pei En, meraih pingat gangsa selepas menewaskan rakan senegeri, Nixon Ang Jia Shen-Tan Zhing Hui, 21-11, 21-10.
Dalam acara beregu lelaki, Wilayah Persekutuan meraih kemenangan satu-dua apabila Bryan Jeremy Goonting-Low Han Chen menewaskan Damien Ling Tang Le-Ethan Oh Joon Hui 21-16, 21-12.
Toh Ee Hern-Wee Yee Tern dari Johor pula membawa pulang pingat gangsa selepas menang ke atas wakil Sarawak, Darrent Lim Lian Zhan-Isyraf Hafizin Ibrahim 21-17, 17-21, 21-18.
Bagi acara beregu wanita, Chong Jie Yu-Vannee Gobi muncul juara selepas mengenepikan cabaran wakil Wilayah Persekutuan, Leong Hwee Ling-Teh Xin Ying 21-15, 20-22, 21-8.
Pingat gangsa pula dimenangi bekas naib juara remaja dunia, Dania Sofea Zaidi-Low Zi Yu dari Johor apabila menyingkirkan wakil tuan rumah Sheyeon Wong E-Shwen-Tan Xin Yu 21-14, 21-14.
SUKMA Selangor 2026 yang bermula pada 15 Ogos melabuhkan tirainya hari ini.
-- BERNAMA