KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Seorang penganggur dipenjara tiga bulan dan didenda RM400 oleh Mahkamah Majistret Selayang hari ini selepas mengaku bersalah menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Majistret Chai Guan Hock menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Izham Mohd Zainuddin, 34, dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 30 Julai 2026.
Mahkamah juga memerintahkan tertuduh dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.
Mohd Izham didakwa telah memperkenalkan diri sebagai pegawai SPRM, dan menunjukkan pas kerja yang mempunyai logo SPRM kepada seorang lelaki berusia 69 tahun, yang tertuduh mengetahui dia bukan seorang penjawat awam.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Selasih Fasa 2, Batu Caves, Selangor, mengikut Seksyen 171 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda RM400 atau kedua-duanya.
Di mahkamah sama, Mohd Izham mengaku tidak bersalah menipu seorang wanita berumur 55 tahun dengan memperdaya mangsa untuk menyerahkan wang RM31,500 bagi tujuan urusan pembelian lot tanah di Kampung Muhibah Utama, Sungai Tinggi, Hulu Selangor.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di lot 211 Jalan Besar Selayang Indah Batu Caves, pada 2 Jun hingga 22 Jun 2026, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dengan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan sebutan kes pada 17 Nov ini.
Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Birr Zamier Abu Bakar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
-- BERNAMA