KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd (PNBMV) melancarkan filem Merdeka pertama terbitannya, GAPAI, bagi menyemarakkan semangat patriotisme rakyat Malaysia sempena sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.
PNBMV dalam kenyataan hari ini memaklumkan filem berdurasi tiga minit itu mendapat ilham daripada detik bersejarah Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ketika mengangkat tangan ke langit sambil melaungkan “Merdeka” sebanyak tujuh kali pada upacara Perisytiharan Kemerdekaan di Stadium Merdeka pada 1957.
Ketua Pegawai Eksekutif PNBMV Datuk Dr Izwan Ibrahim berkata sebagai pemegang amanah kepada salah satu warisan paling penting negara, pihaknya bertanggungjawab bukan sahaja memelihara sejarah, malah memastikan warisan itu terus menjadi sumber inspirasi kepada generasi akan datang.
“Presint Merdeka 118 berdiri megah di tapak di mana kemerdekaan Malaysia diisytiharkan dan kami mahu setiap kunjungan ke sini menjadi peringatan tentang dari mana kita datang dan sejauh mana kita telah pergi,” katanya.
Beliau berkata GAPAI turut mencerminkan falsafah PNBMV dalam membangunkan Merdeka 118 sebagai presint bertaraf dunia tanpa mengenepikan komuniti yang menghuni dan membentuk kawasan bersejarah itu.
Filem berkenaan akan mula ditayangkan kepada orang ramai esok menerusi saluran media rasmi Merdeka 118.
Menurut kenyataan itu, sempena Bulan Kebangsaan, Presint Merdeka 118 turut bekerjasama dengan LOCCO bagi menganjurkan sambutan Merdeka selama tiga hari dari 29 hingga 31 Ogos ini di Stadium Merdeka dan Merdeka Boulevard.
Program berkenaan merangkumi Bazar Komuniti Merdeka, aktiviti budaya dan warisan, Merdeka Flashmob serta Warisan KL Explorace.
GAPAI diterbitkan oleh syarikat penerbitan tempatan Twentyoneseventeen dengan kerjasama agensi kreatif PNBMV, M&C Saatchi Karsa Malaysia.
Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa Muzium Tekstil Merdeka (MTM) dibuka kepada orang ramai sepanjang minggu Merdeka dengan kemasukan percuma dari 22 Ogos hingga 30 September.
Orang ramai boleh melayari laman sesawang www.merdeka118.com atau mengikuti @merdeka118 di Instagram dan platform X untuk mendapatkan maklumat lanjut.
-- BERNAMA