KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan China Daily sedang meneroka kerjasama media yang lebih luas, merangkumi pertukaran kandungan dan wartawan, program latihan serta aktiviti bersama.
Potensi bidang kerjasama itu dibincangkan semasa kunjungan hormat Ketua Pengarang China Daily Asia-Pasifik Lu Haoting ke Bernama pada Isnin.
Pada pertemuan itu, Lu berkata kedua-dua pihak boleh terus memperkukuh kerjasama menerusi pertukaran wartawan dan program latihan bagi meningkatkan kemahiran profesional media.
"Kerjasama juga boleh diperluas kepada forum perniagaan dan aktiviti kebudayaan, sekali gus meluaskan pertukaran melepasi kerjasama media tradisional," katanya.
Lu mengetuai delegasi yang dianggotai Penolong Ketua Pengarang China Daily Asia-Pasifik Sheila Shi, Pengarah Pembangunan Perniagaan Kenrick Lee dan Ketua Biro Kuala Lumpur Peng Chao.
Ketibaan delegasi itu disambut oleh Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj, Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita) Mohd Shukri Ishak, Pemangku Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita Ekonomi) Harlina Samson dan pegawai-pegawai kanan lain.
Arul Rajoo berkongsi pengalaman Bernama bekerjasama dengan organisasi media China, termasuk pertukaran berita dan kandungan serta penerbitan bersama dokumentari.
Beliau berkata hubungan sedia ada dengan media China boleh membuka jalan kepada kerjasama lebih rapat dengan Biro China Daily Asia-Pasifik dalam pertukaran kandungan dan kakitangan, program bersama, aktiviti kebudayaan dan latihan media.
Biro China Daily Asia-Pasifik adalah sebahagian daripada rangkaian berita antarabangsa China Daily, yang membuat liputan perkembangan politik, ekonomi, sosial dan budaya di seluruh rantau ini.
-- BERNAMA