KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- EBENE Bio-Ray Healthcare (EBENE) menekankan kepentingan pemulihan sukan menerusi usaha mencatat rekod Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori “Most Participants in a Sports Recovery Session” pada Sky Race 2026.
Pengarah Pemasaran dan E-Dagang EBENE Goh Sa Ki berkata inisiatif itu bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai pemulihan sebagai bahagian penting dalam gaya hidup aktif, khususnya dalam kalangan mereka yang menceburi aktiviti larian dan larian menara.
“Kami sangat berbangga dapat bekerjasama dengan MBOR. Sehingga hari ini, kami telah melepasi sasaran 1,000 peserta dalam acara sukan ini sahaja kerana sebagai sebuah jenama, kami mahu meningkatkan kesedaran mengenai pemulihan,” katanya kepada Bernama di sini semalam.
Goh berkata kerjasama itu selaras dengan misi EBENE, dengan Sky Race melambangkan keberanian dan keazaman untuk menamatkan perlumbaan, di samping menggalakkan orang ramai bergerak dengan penuh keyakinan sebelum, semasa dan selepas menjalani pemulihan.
Beliau berkata penjagaan yang sewajarnya penting bagi membantu orang ramai kekal aktif dan terus mengejar minat mereka terhadap sukan serta aktiviti fizikal lain.
Menurut Goh, larian menara menuntut kekuatan fizikal dan memberi tekanan tinggi kepada lutut, belakang serta kaki, sekali gus menjadikan sokongan yang sewajarnya penting sepanjang aktiviti berkenaan.
“Ya, larian menara sememangnya memberikan tekanan tinggi kepada lutut, belakang dan juga kaki. Jadi, produk kami seperti pelindung lutut serta stoking mampatan sangat membantu untuk membuat persediaan sebelum, semasa dan selepas larian,” katanya.
Beliau berkata sokongan itu amat penting, khususnya ketika fasa pemulihan, sekali gus membolehkan peserta terus mengejar minat mereka terhadap larian, sukan dan gaya hidup aktif.
Sebagai sebahagian daripada kerjasamanya dengan Sky Race 2026, EBENE menyediakan Zon Pemulihan Sukan yang menawarkan urutan sukan dan sesi regangan berpandu bagi membantu peserta melakukan regangan, memulihkan tenaga dan menyegarkan diri selepas menamatkan cabaran larian menara.
Inisiatif itu adalah sebahagian daripada pengaktifan kelima “Move with EBENE” yang bertujuan menggalakkan rakyat Malaysia kekal aktif, di samping meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan lutut secara proaktif, sokongan yang sewajarnya dan pemulihan.
Sepanjang acara itu, EBENE turut menekankan kepentingan menjaga lutut sebelum ketidakselesaan menjejaskan gaya hidup aktif dan bukannya hanya menangani masalah selepas kesakitan atau ketidakselesaan berlaku.
Peserta turut berpeluang mencuba rangkaian produk sokongan lutut dan penyelesaian mampatan EBENE yang direka untuk memenuhi keperluan pergerakan dan aktiviti yang berbeza.
EBENE adalah Rakan Kongsi Utama Rasmi dan Rakan Kongsi Sokongan Lutut Rasmi Sky Race 2026 yang diadakan di Stadium Merdeka pada 22 dan 23 Ogos, yang menarik kira-kira 8,000 pelari dan peminat kecergasan.
Dengan pengalaman selama 30 tahun dalam kategori sokongan penjagaan kesihatan, EBENE terus membangunkan penyelesaian yang bertujuan menyokong pergerakan dan membantu pengguna mengekalkan gaya hidup aktif.
-- BERNAMA