Am 24/08/2026 11:33 PM

Selangor Gemilang, Labuh Tirai SUKMA Edisi Ke-22

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Selangor Gemilang, Labuh Tirai SUKMA Edisi Ke-22
Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyampaikan titah diraja pada Majlis Penutupan Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 di Aneka Walk malam ini. Turut hadir Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

SHAH ALAM, 24 Ogos (Bernama) -- Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 melabuhkan tirai malam ini selepas berlangsung selama sembilan hari, dengan majlis penutupan edisi ke-22 itu diadakan secara sederhana di Aneka Walk, SA Sentral, di sini.

Upacara penutupan bermula dengan ketibaan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari pada 9 malam.

Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan tarian selamat datang yang menampilkan tarian tradisional serta persembahan lagu rasmi temasya dwitahunan berkenaan.

Seramai 15 kontinjen yang mewakili negeri masing-masing turut mengambil bahagian dalam lintas hormat dan perarakan maskot.

Selepas menyampaikan ucapan alu-aluan, Tengku Amir Shah kemudian mengisytiharkan penutupan rasmi SUKMA Selangor 2026.

Penembak Pahang Cheah Zen Hong dan perenang Selangor Eliza Tan Ai Shen masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahrawati SUKMA Selangor 2026.

Tuan rumah Selangor mengesahkan gelaran juara keseluruhan SUKMA 2026 hari ini selepas mengumpul 101 pingat emas, 73 perak dan 71 gangsa, mengatasi Wilayah Persekutuan dan Terengganu.

Kejayaan itu merupakan kali ke-10 Selangor muncul juara keseluruhan, selepas memenangi edisi 1988, 1996, 1998, 2000, 2002, 2004, 2006, 2013 dan 2016 di Sarawak.

SUKMA XXII Selangor 2026 mempertandingkan 37 jenis sukan membabitkan 368 acara yang berlangsung di sembilan daerah di seluruh negeri dengan menggunakan 51 fasiliti pertandingan.

Seramai lebih 12,000 atlet dan pegawai daripada 15 kontinjen negeri serta Brunei Darussalam mengambil bahagian dalam temasya dwitahunan itu.

Kelantan akan menjadi tuan rumah SUKMA dan Para SUKMA 2028.

-- BERNAMA