KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Miss World Malaysia Taanusiya Chetty mencuri perhatian ramai selepas videonya berucap dalam empat bahasa, iaitu bahasa Inggeris, Melayu, Mandarin dan Tamil tular menerusi media sosial.
“Satu yang mahu saya pesan, iaitu bukan tentang sejauh mana kita boleh mengubah dunia tetapi sejauh mana anda mampu menjadi perubahan itu. Jangan tunggu dunia berubah, jadilah perubahan … itulah semangat yang perlu ada pada Miss World,” katanya dalam klip Head-to-Head Challenge pada pertandingan Miss World pada Ahad.
Taanusiya, 26, mewakili Malaysia pada pertandingan Miss World ke-73 di Vietnam, dan bersaing dengan 86 peserta lain dari seluruh dunia.
Dalam ucapannya, Taanusiya berkongsi kisah yang telah mendorongnya menceburi kerja-kerja sosial, termasuk kehilangan insan tersayang ketika berusia 14 tahun selepas ibunya meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan menghadiri pengebumian ahli keluarga.
Pemegang gelaran Miss World Malaysia itu berkata kehilangan itu sungguh memilukan, namun sokongan tidak berbelah bahagi ibu tirinya akhirnya menyuntik inspirasi kepada perjalanan beliau dalam membantu masyarakat.
Pengalaman itu mendorong Taanusiya menceburi bidang pendidikan dan kerja amal dengan menubuhkan Be The Change Malaysia pada 2022, sebelum mendaftarkan organisasi berkenaan secara rasmi sebagai Pertubuhan Suara Perubahan Insan Murni.
Di bawah pertubuhan itu, beliau bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan untuk mewujudkan inisiatif sekolah dalam hospital bagi kanak-kanak Orang Asli, selain mengadakan bengkel seni untuk golongan muda autistik dan mengunjungi pesakit leukemia kanak-kanak.
“Menjelang 2028, saya berharap dapat bekerjasama dengan Pertubuhan Miss World untuk mengembangkan Be The Change Malaysia ke peringkat antarabangsa kerana saya yakin kita boleh menyelaraskan usaha bagi mencapai matlamat yang dihasratkan.
“Antara yang saya fikirkan sebelum menyertai pertandingan itu adalah untuk memperluas usaha kecerdasan emosi di Kemboja dan Vietnam,” katanya sambil menambah bahawa sejak platform itu dilancarkan, ia telah memberikan manfaat kepada 8,000 kanak-kanak dan mengumpul RM60,000 menerusi program khidmat masyarakat.
Beliau berkata perjalanan ini bukan hanya tentang dirinya tetapi sejauh mana inisiatif itu dapat membantu setiap individu.
Setakat ini, pencapaian terbaik Malaysia di pentas Miss World dilakar oleh Lina Teoh yang meraih tempat ketiga pada 1998. Selain itu, Rahimah Orchient Yayah pernah mara ke kelompok 10 terbaik pada 1994, manakala Deborah Henry berjaya menempatkan diri dalam 16 terbaik pada 2007.
-- BERNAMA