Am 24/08/2026 06:26 PM

Acuan Timur Perlu Kekal Dengan Akhlak, Nilai Budaya Serta Lebih Terbuka - Anwar

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Acuan Timur Perlu Kekal Dengan Akhlak, Nilai Budaya Serta Lebih Terbuka - Anwar
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Perasmian Menara Finas Damansara hari ini. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Acuan Timur yang menjadi pegangan dalam pembangunan negara tidak semestinya berteraskan fahaman neokonservatif, sebaliknya perlu mengekalkan akhlak, nilai dan budaya masyarakat serta lebih terbuka.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keterbukaan itu penting, khususnya dalam membangunkan industri seni dan perfileman negara yang memerlukan ruang kreatif serta kebebasan untuk berkembang seiring dengan tuntutan zaman dan perubahan teknologi.

“Tidak bermakna kita harus ikut acuan Barat, tetapi acuan Timur itu tidak semestinya aliran neokonservatif. Acuan Timur itu harus kekal dengan daya, budaya, nilai dan akhlak, tetapi harus lebih terbuka,” kata beliau ketika berucap merasmikan Menara Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah, Pengerusi FINAS Datuk Hans Isaac, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS Datuk Azmir Saifuddin Mutalib dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

Perdana Menteri berkata negara yang ingin maju perlu menerima hakikat bahawa generasi muda kini menginginkan suasana yang lebih bebas dan terbuka, tanpa mengetepikan nilai budaya dan akhlak masyarakat.

Beliau berkata industri seni dan filem tidak akan berkembang secara optimum sekiranya terlalu banyak kekangan, sekatan dan syarat dikenakan terhadap penggiatnya.

Sehubungan dengan itu, Anwar berkata kerajaan mahu mewujudkan ruang perbincangan yang lebih terbuka agar penggiat seni tidak berasa terlalu tertekan dan terkongkong dalam menghasilkan karya.

“Saya tidak bermaksud untuk menyatakan bahawa sastera, budaya, seni itu harus diperkasakan sebagai satu alat propaganda.

“Seni dan budaya bukannya alat propaganda picisan dan murahan, tetapi seharusnya berperanan mengangkat kesedaran, memberikan pencerahan serta membina kefahaman masyarakat,” kata beliau.

Anwar berkata pengalaman negara pada masa lepas menunjukkan sekatan berlebihan terhadap karya seni boleh mengekang perkembangan industri perfileman.

“Saya tahu tidak mudah kerana negara kita juga kuat pengaruh aliran konservatifnya … tetapi percayalah, negara harus berkembang. 

“Teras budaya, akhlak dan nilai tidak boleh kita mengesampingkan, tetapi kalau industri ini, seperti juga universiti yang kita bicarakan, harus mendukung semangat perubahan, teknologi baharu dan kreatif serta kritis, harus lebih terbuka,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata pada masa sama, beliau menekankan kepentingan sokongan kerajaan dalam memastikan industri perfileman dan sektor seni serta budaya negara terus berkembang termasuk dalam aspek kebajikan penggiat industri.

Beliau berkata sejarah perkembangan seni tanah air turut memperlihatkan nasib sebahagian seniman yang berdepan dengan kesukaran akibat pengurusan industri yang tidak teratur dan sistem yang tidak adil.

“Tragedi akibat industri yang tak terurus, industri yang juga menjadi mangsa kepada sistem yang tidak adil, menekan dan memeras dan berakhir dengan tragedi dalam hidup para seniman.

“Keadaan itu tidak seharusnya berulang dan kerajaan perlu memastikan sokongan serta pembelaan sewajarnya diberikan kepada seluruh ekosistem industri, daripada pelakon dan penggiat seni sehingga tenaga kerja yang terlibat dalam menghasilkan sesebuah karya,” kata beliau.

Anwar berkata kerajaan telah meningkatkan peruntukan bukan sahaja untuk industri filem, malah juga teater, sastera dan seni sebagai sebahagian daripada usaha memperkasakan budaya negara.

Sementara itu, beliau berkata FINAS boleh memainkan peranan dalam usaha memberikan pendedahan kepada generasi muda terhadap karya tempatan termasuk melalui pendekatan yang lebih kreatif dan bersesuaian dengan minat mereka.

Beliau berkata kekuatan industri seni dan filem bukan sahaja mencerminkan kemampuan kreatif sesebuah negara, malah turut mempamerkan sikap, identiti dan budaya masyarakatnya.

“Saya mahu Malaysia ini terangkat kerana kekuatan ekonominya dan budaya yang diperkasakan,” kata beliau.

-- BERNAMA