Am 24/08/2026 09:19 PM

Piala FA: JDT Bermula Dengan UM-Damansara

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Piala FA: JDT Bermula Dengan UM-Damansara
Kredit : Laman Facebook Malaysian Football League

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Juara bertahan Johor Darul Ta'zim (JDT) akan membuka kempen mempertahankan kejuaraan Piala FA 2026-2027 dengan menentang kelab Liga A1 Semi Pro, UM-Damansara United pada pusingan 16 terbaik yang dijadualkan bermula bulan depan.

Sabah FC, yang muncul naib juara Piala FA musim lalu, pula berdepan tugas getir apabila diundi menentang Selangor FC, juara lima kali kejohanan itu, dalam perebutan tiket ke suku akhir.

Undian saingan Piala FA 2026-2027 oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang berlangsung hari ini menyaksikan kesemua 12 kelab Liga Super dan empat wakil Liga A1 Semi Pro, iaitu Kedah FA, Perak FA, UM-Damansara United dan Kelantan City, bakal bersaing dalam edisi ke-36 kejohanan berkenaan.

Menurut MFL dalam satu kenyataan, lapan pasukan yang menduduki tangga pertama hingga kelapan Liga Super musim 2025-2026, iaitu JDT, Kuching City FC, Selangor FC, Kuala Lumpur City FC, Terengganu FC, Star City FC, Negeri Sembilan FC dan Penang FC, diberikan status pasukan pilihan dan akan memulakan kempen sebagai pasukan pelawat.

Sementara itu, Sabah FC, DPMM FC dan Melaka FC yang menduduki tiga kedudukan terbawah Liga Super musim lalu, bersama pasukan baharu Kelantan Red Warrior FC serta empat wakil Liga A1 Semi Pro, akan bertindak sebagai tuan rumah.

DPMM FC pula diundi menentang juara dua kali, Terengganu FC, dalam penampilan kedua mereka di Piala FA. Kedua-dua pasukan pastinya mahu memperbaiki pencapaian musim lalu selepas masing-masing disingkirkan Kuching City FC pada pusingan 16 terbaik dan suku akhir.

Melaka FC turut berdepan Penang FC dalam ulangan pertemuan musim lalu yang menyaksikan skuad Harimau Kumbang membelasah wakil Melaka itu 5-0 untuk mara ke suku akhir.

Tiga lagi pertemuan membabitkan wakil Liga A1 Semi Pro menyaksikan Kedah FA berdepan Star City FC, Perak FA menentang Kuala Lumpur City FC, manakala Kelantan City FC menerima kunjungan Negeri Sembilan FC.

Kelantan Red Warrior FC, yang baharu dinaikkan ke Liga Super musim ini, pula bakal berdepan cabaran besar apabila menerima kunjungan Kuching City FC, naib juara Liga Super musim lalu.

Format pertandingan Piala FA menyaksikan aksi pusingan 16 terbaik, suku akhir dan separuh akhir berlangsung secara timbal balik, sebelum dua pasukan terbaik bertemu pada perlawanan akhir yang dijadualkan berlangsung pada Januari depan.

-- BERNAMA