Am 24/08/2026 06:40 PM

Kutipan Filem Tempatan Di Bawah Skim Wajib Tayang Terus Meningkat - Fahmi

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kutipan Filem Tempatan Di Bawah Skim Wajib Tayang Terus Meningkat - Fahmi
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berucap pada Majlis Perasmian Menara Finas di Damansara hari ini.

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Kutipan filem tempatan di bawah Skim Wajib Tayang melonjak kepada RM253.31 juta pada 2025 berbanding RM125.28 juta pada 2024, sekali gus menunjukkan peningkatan ketara terhadap penerimaan penonton terhadap karya tempatan.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata bagi tahun ini, kutipan setakat 10 Ogos ialah RM111.83 juta.

Beliau berkata 2025 menyaksikan pencapaian membanggakan apabila Blood Brothers: Bara Naga muncul sebagai filem dengan kutipan tertinggi di bawah Skim Wajib Tayang, iaitu RM73.6 juta.

Filem animasi Papa Zola The Movie pula mencatat kutipan RM63.8 juta, menunjukkan penerimaan positif penonton terhadap karya tempatan daripada genre berbeza.

“Kejayaan kedua-dua karya daripada genre yang berbeza ini membawa mesej yang jelas, penonton Malaysia mempunyai keyakinan terhadap karya tempatan apabila kita menawarkan kandungan yang berkualiti, kompetitif dan dekat di hati mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Menara FINAS Damansara oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, hari ini. 

Fahmi berkata bagi 2026, lima filem tempatan setakat ini telah melepasi kutipan RM10 juta, iaitu Ah Beng vs Liang Po Po, Malaikat Malam, Libang Libu, Tarung: Unforgiven dan Polong.

Beliau berkata peningkatan turut direkodkan dari segi jumlah filem yang ditayangkan menerusi Skim Wajib Tayang, daripada 58 filem pada 2024 kepada 71 filem pada 2025.

Bagi 2026, sebanyak 31 filem telah ditayangkan setakat 2 Julai, manakala 80 filem disasarkan untuk ditayangkan pada 2027.

Dalam pada itu, Fahmi berkata peningkatan kutipan dan jumlah filem tempatan turut disokong oleh pertambahan jumlah penonton, daripada 5.87 juta orang pada 2023, yang merangkumi 16.8 peratus daripada keseluruhan penonton pawagam, kepada 7.14 juta orang atau 21.9 peratus pada 2024.

Jumlah itu, katanya, meningkat kepada 14.83 juta penonton pada 2025, bersamaan dengan 36.5 peratus daripada keseluruhan penonton pawagam.

Fahmi berkata bagi tahun ini, jumlah penonton filem tempatan setakat Julai telah mencapai 6,099,245 orang.

Sementara itu, beliau berkata ibu pejabat baharu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang dibina di tapak seluas 2.08 hektar itu kini beroperasi sepenuhnya sejak 6 Ogos lepas, setelah perpindahan dilaksanakan secara berperingkat.

Beliau berkata pengoperasian menara berkenaan dapat memperkukuh tiga fungsi utama FINAS dalam memajukan industri perfileman, iaitu pelaksanaan dasar, dana dan insentif; pelesenan serta penguatkuasaan yang memudah cara; dan pemeliharaan warisan perfileman negara melalui pengurusan arkib filem dan dokumentari.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah, Pengerusi FINAS Datuk Hans Isaac, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS Datuk Azmir Saifuddin Mutalib dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

-- BERNAMA