Dunia 24/08/2026 06:20 PM

Armenia Bakal Mohon Anggotai EU Dalam Masa Terdekat

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Armenia Bakal Mohon Anggotai EU Dalam Masa Terdekat
-- Hayk Baghdasaryan/Photolure via REUTERS

MOSCOW, 24 Ogos (Bernama-Anadolu) -- Perdana Menteri Armenia Nikol Pashinyan berkata  pada Isnin negara itu berhasrat untuk memulakan proses memohon keahlian Kesatuan Eropah (EU) dalam masa terdekat, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Bercakap pada pembentangan program kerajaan 2026-2031 di Parlimen Armenia di ibu negara Yerevan, Pashinyan berkata Armenia perlu mengemukakan permohonan keahlian rasmi sebelum menyediakan pelan hala tuju bagi potensi referendum mengenai penyertaan EU.

“Pertama sekali, Armenia mesti mengemukakan permohonan rasmi untuk keahlian dalam EU,” kata Pashinyan.

Beliau berkata proses itu memerlukan usaha yang ketara dan Yerevan akan memulakannya "dalam masa terdekat", di samping mengambil kira kebimbangan yang dibangkitkan oleh rakan kongsi Armenia dalam Kesatuan Ekonomi Eurasia (EAEU).

Parlimen Armenia telah meluluskan satu undang-undang pada Mac 2025 untuk memulakan proses menyertai EU. Pashinyan sebelum ini menyatakan bahawa referendum mengenai keahlian EU hanya bermakna setelah perbincangan awam mengenai isu itu mencapai peringkat muktamad dan pelan hala tuju dapat disediakan.

Negara-negara anggota EAEU telah memberi amaran kepada Armenia bahawa potensi integrasi dengan EU boleh menjejaskan keahliannya dalam blok berkenaan.

-- BERNAMA-ANADOLU